KUALA LUMPUR – Parti Wawasan Negara (Wawasan) mendakwa tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengeluarkan notis terhadap Perikatan Nasional (PN) mempunyai motif politik dan bertujuan menyekat gabungan itu daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Dalam kenyataan hari ini, parti itu mempersoalkan sama ada wujud ‘tangan ghaib’ di sebalik pengeluaran notis-notis tersebut, yang bertepatan dengan pengumuman Ketua Menteri Melaka mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka, baru-baru ini.
Bagaimanapun, katanya, parti tersebut akan terus bekerjasama rapat dengan rakan-rakan parti komponen PN dalam memastikan jentera dan persiapan menghadapi PRN Melaka berjalan seperti yang dirancang.
Terdahulu dalam kenyataan tersebut, Wawasan berkata, parti itu sudah dimaklumkan mengenai tindakan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk menggantung PN.
Katanya, Wawasan turut dimaklumkan bahawa PN telah menerima dua notis daripada RoS. Notis pertama (bertarikh 22 September 2026) ialah Notis Kenyataan Sebelum Pendaftaran Dibatalkan di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966.
Notis kedua (bertarikh 23 September 2026) ialah Notis Perintah Penggantungan di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966. – MalaysiaGazette
















