ROMPIN – Seorang wanita warga emas Orang Asli dilaporkan hilang di kawasan hutan Kampung Lesong, Kedaik, di sini sejak tiga hari lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi, wanita itu dikatakan tidak pulang ke rumahnya selepas keluar memancing di kawasan hutan paya di kampung terbabit kira-kira jam 3 petang hari berkenaan.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bernama Kuang Poh, 73, dimulakan pada jam 8 pagi semalam dengan kekuatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) seramai tujuh orang selain 10 orang kampung.
“SAR kemudian dibantu tujuh anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Muadzam Shah dan lima anggota PERHILITAN Rompin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Sharif Shai memaklumkan, mangsa masih belum ditemukan sehingga jam 3 petang ini.
Justeru, beliau menyeru mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan mangsa agar tampil bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















