Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Perwakilan Parti Wawasan Negara di Tropicana Golf Country & Resort, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 07 OGOS 2026. (Gambar fail)

KUALA LUMPUR – Parti Wawasan Negara (Wawasan) mempersoalkan kemungkinan wujud ‘tangan ghaib’ di sebalik tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengeluarkan perintah penggantungan terhadap Perikatan Nasional (PN).

Parti pimpinan Datuk Seri Hamzah Zainudin itu berkata, PN menerima dua notis daripada RoS masing-masing bertarikh 22 dan 23 September lalu.

“Notis pertama (bertarikh 22 September 2026) ialah Notis Kenyataan Sebelum Pendaftaran Dibatalkan di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966.

“Notis kedua (bertarikh 23 September 2026) ialah Notis Perintah Penggantungan di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wawasan, pengeluaran kedua-dua notis itu menimbulkan persoalan kerana waktunya bertepatan dengan pengumuman Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

“Wawasan Negara beranggapan tindakan ini adalah bermotifkan politik dan bertujuan menyekat PN daripada bertanding dalam PRN Negeri Melaka yang akan berlangsung tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Wawasan menegaskan akan terus bekerjasama dengan parti komponen PN bagi memastikan persiapan menghadapi PRN Melaka berjalan seperti dirancang.

RoS sebelum ini menjelaskan perintah penggantungan itu dibuat di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 susulan notis yang dikeluarkan pada 22 September bagi mendapatkan penjelasan PN berhubung aduan Bersatu.

Menurut RoS, notis itu bukan keputusan membatalkan pendaftaran PN, sebaliknya memberi ruang kepada gabungan berkenaan mengemukakan penjelasan dalam tempoh munasabah.

Aduan Bersatu yang dikemukakan pada 11 Ogos lalu antara lain membabitkan dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai serta isu kedudukan dan keanggotaan Bersatu dalam gabungan berkenaan.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menggesa RoS membuat keputusan segera berhubung aduan berkenaan yang didakwa membabitkan lapan pelanggaran oleh kepimpinan PN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here