KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sembilan mengambil serius persoalan tatakelola pentadbiran, prinsip kebertanggungjawaban serta kewajipan setiap penjawat awam untuk menjalankan tanggungjawab secara profesional, berkecuali dan selaras dengan undang-undang.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, Kerajaan Negeri mengingatkan semua pihak, termasuk mana-mana agensi atau pihak berkuasa di peringkat Persekutuan, supaya tidak melakukan apa-apa tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai mengambil alih fungsi, menekan atau menentukan keputusan dalam perkara yang menurut undang-undang dan adat berada dalam bidang kuasa Negeri Sembilan.
Tegas beliau, prinsip federalisme yang sihat menuntut supaya sempadan kuasa masing-masing dihormati.
“Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri hendaklah berasaskan hormat-menghormati, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, bukannya tekanan atau percubaan mengatasi bidang kuasa satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, tambahnya, semua pihak wajib menghormati mandat rakyat Negeri Sembilan yang telah memilih sebuah Kerajaan Negeri dengan majoriti melebihi dua pertiga.
Katanya, mandat rakyat tersebut bukan sekadar angka di Dewan Undangan Negeri, tetapi membawa bersamanya tanggungjawab dan kuasa eksekutif untuk mentadbir negeri, melaksanakan dasar, mengurus jentera pentadbiran serta menjaga kebajikan dan kemaslahatan rakyat Negeri Sembilan.
Sehubungan itu, ujar beliau, Kerajaan Negeri mesti diberikan ruang untuk menjalankan amanah tersebut secara sah, teratur dan berkesan tanpa sebarang campur tangan yang tidak berasaskan undang-undang, intimidasi, tekanan ataupun sekatan yang boleh menjejaskan fungsi sah sebuah kerajaan yang dipilih rakyat.
“Menghormati institusi Raja dan Adat tidak bermakna menafikan fungsi Kerajaan Negeri.
“Begitu juga menghormati mandat demokratik Kerajaan Negeri tidak pernah bermaksud mengurangi kemuliaan atau kedudukan Institusi Raja.
“Kedua-duanya mempunyai kedudukan, fungsi dan bidang kuasa masing-masing di sisi Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh,” katanya.
Sehubungan itu, tambahnya, tidak boleh mana-mana pihak menggunakan pertikaian institusi sebagai alasan untuk melumpuhkan pentadbiran negeri, menghalang keputusan eksekutif yang sah ataupun menjejaskan keupayaan Kerajaan Negeri memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Rakyat telah memberikan mandat. Mandat itu wajib dihormati,” katanya. – MalaysiaGazette
















