SEBERANG PERAI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas rokok dan minuman keras bernilai RM2.17 juta menerusi tiga serbuan di negeri ini, bulan lalu.
Pengarah Kastam Pulau Pinang, Hasbollah Din berkata, rampasan itu membabitkan 1,792,500 batang rokok dan 635.52 liter minuman keras jenis bir, selain lima kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Katanya, serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 6.40 petang pada 7 Ogos lalu di kawasan parkir sebuah kondominium di Jelutong, George Town.
“Hasil pemeriksaan terhadap lima buah kenderaan menemukan 339,640 batang rokok pelbagai jenama disyaki barang larangan dengan anggaran nilai RM590,959.
“Seorang lelaki warga tempatan berusia 70-an turut ditahan, namun peranannya masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Kompleks Pencegahan Kastam Negeri di Perai di sini, hari ini.
Tambah beliau, dalam serbuan kedua kira-kira jam 12 tengah hari pada 14 Ogos lalu di sebuah rumah tidak berpenghuni di Nibong Tebal, pihaknya merampas 115,340 batang rokok dan 635.52 liter minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM147,567.55.
“Bagi serbuan ketiga kira-kira jam 1 petang pada 17 Ogos lalu, kita menyita 1,337,520 batang rokok bernilai RM1,434,402.08 di sebuah rumah teres tidak berpenghuni di Bukit Mertajam.
“Hasil siasatan lanjut mendapati barang rampasan bagi ketiga-tiga kes adalah untuk pasaran tempatan.
“Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. – MalaysiaGazette
















