ISKANDAR PUTERI – Mayat lelaki ditemukan terapung di tebing sebuah kolam di Jalan Pontian-Skudai di sini, petang semalam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat BBP Skudai, Pegawai Bomba Kanan I Inggai Anak Bakau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 7.26 petang.
Susulan itu katanya, seramai tujuh anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya kira-kira empat kilometer dari balai.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati satu mayat terapung di tebing kolam. PKO bertindak mengangkat mayat tersebut menggunakan peralatan khas dan menyerahkan mayat kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Setakat ini maklumat mangsa masih tidak diperolehi. Operasi tamat pukul 10.45 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu insiden penemuan mayat berkenaan tular dalam Facebook sejak malam tadi dalam video memaparkan anggota keselamatan sedang mengusung mayat.- MalaysiaGazette
















