ALOR GAJAH – Dua lelaki masing-masing berusia 57 dan 38 tahun ditemukan meninggal dunia dalam dua kejadian berasingan di Alor Gajah di sini hari ini.
Dalam kejadian pertama kira-kira 11.30 pagi, seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun ditemukan tidak bernyawa di sebuah unit bangunan rumah kedai terbiar di Cherana Putih, Taboh Naning di sini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, mangsa yang berasal dari Simpang Ampat itu ditemukan orang awam yang sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan.
“Pihak polis yang tiba di lokasi mendapati mangsa sudah meninggal dunia dipercayai sejak dua hari lalu. Pasukan forensik serta ambulans yang tiba kemudian mengesahkan kematian tersebut,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di lokasi di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan awal terhadap badan mendapati tiada unsur jenayah dan mangsa dipercayai berasal di kawasan berkenaan tanpa pengetahuan keluarganya.
Sementara itu Ahmad berkata, dalam kejadian kedua kira-kira 12 tengah hari, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditemukan meninggal dunia di sebuah unit pangsapuri di sebuah apartment di Simpang Ampat, Alor Gajah.
“Mangsa yang merupakan pekerja kilang dan tinggal menyewa di situ seorang diri ditemukan tunangnya selepas wanita itu datang ke kediaman mangsa susulan mangsa tidak mengangkat panggilan telefon malam tadi.
“Wanita berkenaan kemudian masuk melalui tingkap dan menemukan mangsa berada di dalam rumah sebelum menghubungi ambulans,” katanya.
Tambahnya, pemeriksaan kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
Polis berkata, tiada unsur pecah masuk atau jenayah dikesan dalam dua kejadian itu dan kes turut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya.
Sementara itu, penemuan dua mayat hari ini menjadikan ia kes kematian ke lima di daerah itu sepanjang bulan ini.
Pada 13 September lalu, satu rangka manusia yang disumbat dan disimen di dalam tong dram biru ditemukan di kawasan kolam tadahan air Empangan Durian Tunggal, Machap Baru, Alor Gajah.
Tujuh hari kemudian pada 20 September, dua mayat masing-masing lelaki berusia 31 tahun dan wanita berusia 33 tahun ditemukan di dalam sebuah kereta Proton Preve di Taman Inang Sari, Durian Tunggal.
Penemuan rangka di Empangan Durian Tunggal disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala dua kejadian lain berkenaan diklasifikasikan sebagai SDR. – MalaysiaGazette
















