KUALA LUMPUR – Tangkap dahulu, cari kesalahan kemudian, demikian dakwaan keras Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hariri Abdul Hadi.
Amir berkata, penahanan, pembekuan akaun bank serta sekatan perjalanan terhadapnya dan Pengarah Kewangan Mandiri, Dobby Chew, menimbulkan persoalan mengenai prinsip kedaulatan undang-undang yang sebelum ini sering diperjuangkan kerajaan.
“Kalau mereka boleh ‘scan people’, kemudian tangkap dan cari kesalahan selepas itu, setiap seorang daripada kita berpotensi untuk kena selepas ini.
“Mereka boleh tangkap dulu, mereka boleh bekukan akaun dulu, mereka boleh hantar ke lokap dan kemudian cari kesalahan.
“Mana boleh begitu? Ini negara undang-undang,” katanya ketika berucap pada Himpunan Tangkap Mafia Korporat di luar pekarangan Kompleks Beli-Belah Sogo, di sini, hari ini.

Amir berkata, beliau dan Dobby sebelum ini turut dikenakan sekatan perjalanan serta berdepan pembekuan akaun peribadi dan akaun organisasi.
Beliau mendakwa tindakan berkenaan mempunyai kaitan dengan pendirian Mandiri yang lantang mengkritik isu rasuah, termasuk kempen “Tangkap Azam Baki” yang dianjurkan bersama beberapa NGO dan parti progresif pada April lalu.
Menurutnya, Mandiri tidak membawa sebarang isu baharu dalam kempen berkenaan, sebaliknya mengulangi persoalan yang pernah dibangkitkan sebelum ini mengenai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
“Kita tidak datang dengan perkara baharu. Apa yang kita kempenkan, apa yang kita sebut sama sahaja,” katanya.
Pada April lalu, beberapa aktivis ditahan selepas mengadakan bantahan ketika Azam menyampaikan ucapan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) manakala satu lagi himpunan “Tangkap Azam Baki” pada 25 April menyaksikan insiden letupan mercun dan kekecohan kecil.
Polis kemudian menyatakan siasatan dijalankan dan penganjur serta peserta akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Amir turut mempertikaikan dakwaan mengenai penerimaan dana mencurigakan yang menjadi antara asas siasatan terhadap Mandiri.
“Wang yang mencurigakan itu bukan kesalahan jenayah.
“Kalau wang mencurigakan datang daripada organisasi pengganas, itu jenayah.
“Wang mencurigakan datang daripada syarikat judi haram, itu jenayah.
“Tetapi kalau kamu curiga, kamu masuk, kamu tangkap, kamu bekukan akaun, itu tindakan intimidasi,” dakwanya.
Bagaimanapun, penahanan Amir dan Dobby pada 22 September lalu dilaporkan dibuat bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Kedua-duanya direman selama tiga hari sehingga 25 September bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penerimaan dana disyaki hasil daripada aktiviti haram bagi tempoh 2024 hingga 2026.
Dalam pada itu, Amir mendakwa tindakan terhadap Mandiri mempunyai persamaan dengan apa yang didakwanya sebagai “modus operandi mafia korporat”, termasuk penggunaan tindakan penguatkuasaan untuk memberi tekanan terhadap pihak tertentu.
“Laporan Bloomberg membincangkan kewujudan mafia korporat serta mendakwa corak tindakan seumpama itu berlaku terhadap Mandiri.
“Namun, dakwaan tersebut tidak membuktikan bahawa siasatan polis terhadap Mandiri mempunyai kaitan dengan mana-mana mafia korporat,” katanya.
Amir turut mengkritik kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana terdapat perbezaan antara retorik reformasi ketika pembangkang dengan tindakan kerajaan selepas mengambil alih pentadbiran.
“Dulu kamu yang kempen lawan rasuah. Kamu yang bawa rakyat turun ke jalan raya. Bila kamu hilang kuasa, apa yang berlaku kepada kami akan berlaku kepada kamu.
“Rakyat bagi peluang kepada kamu untuk memimpin negara ini sebab kamu kata reformasi. Rupa-rupanya reformasi itu hanya slogan,” katanya.
Beliau menegaskan, Mandiri tidak menyertai pilihan raya atau mempunyai kepentingan untuk mendapatkan projek kerajaan, sebaliknya gerakan itu hanya mahu menyuarakan isu berkaitan rasuah dan tadbir urus.
“Kita bukan turun jalan raya sebab satu hari nanti aku nak jadi Perdana Menteri.
“Kita bukan kempen reformasi lawan rasuah sebab boleh tipu orang untuk jadi Perdana Menteri.
“Kita ada di sini kerana kita sayang dan cintakan negara ini,” katanya.
Amir turut memberi amaran bahawa tindakan undang-undang tidak akan menghentikan gerakan masyarakat sivil daripada bersuara.
“Mereka boleh tangkap kita. Mereka boleh letak kita di lokap. Mereka boleh dakwa kita di mahkamah, malah boleh penjarakan kita.
“Tetapi suara rakyat tidak akan dapat kamu diamkan. Kuasa rakyat tidak akan dapat kamu hentikan,” katanya.
Katanya lagi, Mandiri akan meneruskan kempen bagi mendesak pihak yang mempunyai kaitan dengan mafia korporat disiasat dan didakwa, selain mahu menghentikan tekanan terhadap gerakan masyarakat sivil dan parti progresif.
“Kita akan lawan habis-habisan. Kita akan pastikan mereka yang terlibat dengan korporat mafia ditangkap, disiasat dan didakwa.
“Kita akan hentikan modus operandi korporat mafia untuk menekan gerakan sivil dan parti-parti progresif,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















