KUALA LUMPUR – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memaklumkan beliau menandatangani surat cara proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tanpa rela dan secara paksaan.
Sehubungan itu katanya, laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat petang semalam bagi membolehkan pihak berkuasa.menjalankan siasatan lanjut.
“Saya sekali lagi menzahirkan sokongan penuh serta taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada DYMM Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari Meor Ngah memaklumkan proklamasi menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang ditandatangani Ismail pada 3 Ogos 2026 di Port Dickson, dalam Luak Sungei Ujong adalah tidak sah dan tidak boleh berkuatkuasa.
Jelas beliau, Sidang Dewan Keadilan dan Undang pada 31 Julai 2026 di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah memuktamadkan pengisytiharan 19 April 2026 itu tiada kesan undang-undang dan tidak boleh diguna pakai kerana tidak memenuhi syarat Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Proklamasi turunkan Tuanku Muhriz: Dokumen ditandatangani Ismail tak sah
















