Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil .

PUTRAJAYA – Seramai 3,524 pelarian Myanmar telah dikenal pasti untuk dihantar pulang ke negara asal dalam fasa kedua program penghantaran pulang secara sukarela.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, bagaimanapun pelaksanaan fasa kedua itu masih menunggu maklumat lanjut daripada pihak Myanmar termasuk tarikh dan nota diplomatik bagi kumpulan terbabit.

Menurutnya, kerajaan menjangkakan maklumat berhubung kumpulan kedua akan diterima selepas proses penghantaran pulang fasa pertama yang melibatkan 1,476 pelarian selesai dilaksanakan.

“Jumlah itu telah dipersetujui bersama pihak Myanmar akan dihantar pulang pada peringkat seterusnya.  Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan pihak Myanmar dalam masa terdekat supaya lebih ramai pelarian Myanmar di Malaysia dapat diterima pulang ke negera itu selepas proses penghantaran kedua selesai,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet hari ini.

Semalam, seramai 1,476 pelarian Myanmar berjaya dihantar pulang menerusi fasa pertama program berkenaan.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, kerajaan Nepal bersetuju membantu mempercepatkan proses pengesahan status 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikenal pasti susulan banjir kilat di negara itu.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbualan telefon mereka semalam.

“Perdana Menteri Nepal telah memaklumkan persetujuan untuk membantu mempercepat proses pengesahan status bagi 55 rakyat Malaysia yang masih tidak dapat dikesan akibat daripada kejadian yang berlaku di Nepal.

“Perdana Menteri telah mengarahkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar meneruskan perbincangan dengan pihak Nepal bagi mempercepat proses pengesahan tersebut,” katanya dalam sidang media sama.

Sebelum ini, Kerajaan Nepal sedang pertimbang langkah perundangan bagi menangani kes individu termasuk warga asing yang statusnya masih belum dapat dipastikan susulan bencana alam yang melanda negara itu bulan lepas.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah berkenaan masih tertakluk kepada proses perundangan domestik Nepal dan belum berkuat kuasa setakat ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here