KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan mendakwa dirogol selepas dipaksa menghisap rokok elektronik (vape) oleh seorang lelaki sehingga tidak sedarkan diri di sebuah residensi di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Polis Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada mangsa berusia 18 tahun dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 5 pagi.
“Mangsa mendakwa telah dipaksa suspek tempatan untuk menghisap vape sebelum tidak sedarkan diri. Kemudian pada jam lebih kurang 7 pagi, remaja itu tersedar dan mendapati dia tidak berpakaian.
“Mangsa turut mengalami kesakitan pada bahagian kemaluan dan mengesyaki suspek telah merogol mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Chang Hook, pihaknya sedang mengesan suspek bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















