KUALA LUMPUR – Anthony Loke akan terus menjalankan tugas sebagai Menteri Pengangkutan buat sementara waktu sehingga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibenarkan pulang ke rumah di bawah perintah tahanan rumah.
Setiausaha Agung DAP itu sudah menyerahkan surat peletakan jawatan secara tangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan mereka semalam.
Menurutnya, Anwar meminta beliau meneruskan tugas buat sementara waktu namun beliau menetapkan peletakan jawatannya akan berkuat kuasa pada hari Najib memulakan tahanan rumah.
“Dalam perbincangan tersebut, beliau (Anwar) menasihatkan saya untuk meneruskan tugas saya sementara waktu. Beliau akan membuat keputusan tapi saya kata bahawa perlu juga satu tempoh masa.
“Jadi, tempoh masa itu ialah pada hari Najib balik rumah maka peletakan jawatan saya akan berkuat kuasa,” katanya dalam sidang media hari ini.
Anthony berkata demikian selepas menghadiri program Minggu Maritim Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu, Anthony berkata, keputusan meletakkan jawatan itu dibuat berdasarkan pendirian DAP berhubung isu tahanan rumah Najib yang tidak dipersetujui parti.
“Kita pun tidak tahu bila beliau (Najib) akan keluar. Mungkin esok, mana kita tahu. Saya pun tidak tahu bila beliau akan keluar,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, peletakan jawatan itu merupakan tindakan beliau selaku Setiausaha Agung DAP bagi menegaskan pendirian parti terhadap isu berkenaan.
“Keputusan parti di atas respons dan juga pendirian DAP terhadap isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak yang kita tidak setuju.
“Jadi apa tindakan kita dari segi pendirian kita? Iaitu saya selaku setiausaha meletakkan jawatan untuk menegaskan pendirian parti dalam isu ini,” katanya.
Anthony berkata, buat masa ini juga belum ada pengganti untuk mengambil alih jawatan Menteri Pengangkutan selepas beliau berundur.
“Belum ada pengganti lagi. Itu belum diputuskan,” katanya.
Dalam mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP minggu lalu, Anthony mengumumkan beliau akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sebagai reaksi parti terhadap keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib.
Menurutnya, pada masa sama, anggota Kabinet dan Timbalan Menteri daripada DAP serta mereka yang memegang jawatan lain dalam kerajaan akan kekal dalam jawatan masing-masing buat sementara waktu bagi memastikan kestabilan politik terjamin. – MalaysiaGazette
















