Barisan kepimpinan baharu MDDNM bagi sesi 2026–2029 yang diterajui Presidennya, Datuk Md Nasir Ghani (duduk, tengah) selepas Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) MDDNM di Ayer Keroh, Sabtu lalu.

MELAKA – Majlis Datuk-Datuk Negeri Melaka (MDDNM) menampilkan hampir 90 peratus muka baharu dalam barisan kepimpinan bagi sesi 2026–2029 susulan pemilihan pada Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) pertubuhan itu di Ayer Keroh, 26 September lalu.

Presidennya, Datuk Md Nasir Ghani berkata, kepimpinan baharu itu terdiri daripada individu pelbagai latar belakang termasuk profesional, korporat, keusahawanan, teknologi maklumat, keselamatan, logistik, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), politik, perkhidmatan awam dan kemasyarakatan.

Menurutnya, gabungan kepakaran serta pengalaman itu akan dimanfaatkan bagi memperkukuhkan program kebajikan, pendidikan, keusahawanan, pendigitalan dan hubungan strategik MDDNM.

“Wajah baharu membawa tenaga dan pendekatan baharu, tetapi pada masa sama kita tidak melupakan asas kukuh yang telah dibina kepimpinan terdahulu.

“Barisan baharu akan meneruskan kesinambungan kecemerlangan barisan peneraju sebelumnya, khususnya dalam menjaga kebajikan ahli, memelihara prestij MDDNM serta mengukuhkan hubungan dengan masyarakat.

“Segala perkara baik yang telah dilaksanakan akan diteruskan dan ditambah baik, manakala idea serta pendekatan baharu akan diperkenalkan mengikut keperluan semasa,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pada MAT berkenaan, Md Nasir dipilih sebagai Presiden manakala Datuk Syamsul Azly Akbar sebagai Timbalan Presiden.

Dua jawatan Naib Presiden disandang Datuk Mokhtar Haron dan Datuk Hasnoor Sidang Hussin.

Lima Ahli Jawatankuasa yang dipilih ialah Datuk Mashitah Ismail,
Datuk Sri Dr. Raymond Yeo Geok Beng, Datuk Syed Azmi Syed Nazir Ahmad, Datuk Mohd Zaiful Zakariah dan Datuk Mohamed Saffian Mohamed Omar.

Datuk Mejar (B) Mohd Jamil Sohaini dan Datuk Ameran Ismail pula dipilih sebagai Pemeriksa Kira-Kira.

Md Nasir berkata, barisan berkenaan membawa kepakaran dan jaringan berbeza yang boleh dimanfaatkan untuk menjadikan MDDNM lebih aktif serta relevan dengan perkembangan semasa.

Katanya, kepakaran teknologi dan digital boleh membantu memperkemaskan komunikasi, pengurusan data ahli serta penyampaian maklumat, manakala jaringan dalam sektor korporat, keusahawanan dan NGO berupaya membuka lebih banyak kerjasama strategik.

“Kita mahu MDDNM bukan sekadar menjadi wadah menghimpunkan penerima darjah kebesaran negeri, tetapi sebuah organisasi yang aktif dan mampu memberikan manfaat kepada masyarakat.

“Setiap individu membawa kekuatan berbeza dan tanggungjawab kita sekarang ialah menggabungkan semua kepakaran itu sebagai satu pasukan,” katanya.

Menurut Md Nasir, kepimpinan baharu mempunyai tempoh tiga tahun untuk menterjemahkan kepercayaan ahli kepada gerak kerja, program dan pencapaian.

“Kemenangan sebenar bukan pada hari pemilihan, kemenangan sebenar ialah apabila ahli melihat perubahan, masyarakat merasai manfaat dan nama MDDNM terus dihormati,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here