KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Investment Corporation Sdn Bhd, Mohd Zaid Abdul Jalil, 55, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memperdayakan Lembaga Pengarah Felda membabitkan pelantikan syarikat bagi projek pembangunan komersial serta penilaian harga pasaran 24 tanah milik agensi itu, 12 tahun lalu.
Mohd Zaid membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdayakan Lembaga Pengarah Felda untuk mempercayai bahawa Synergy Promenade Sdn Bhd layak dilantik sebagai Project Delivery Partner–Master Developer bagi projek The Proposed Commercial Development On Felda Lots In Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, tertuduh didakwa mengetahui syarikat berkenaan hanya layak dilantik sebagai Project Delivery Partner–Master Planner.
Perdayaan itu didakwa menyebabkan Lembaga Pengarah meluluskan pelantikan Synergy Promenade sebagai Project Delivery Partner–Master Developer, sedangkan keputusan berkenaan didakwa tidak akan dibuat sekiranya lembaga tidak diperdayakan.
Kesalahan itu didakwa berlaku di Bilik Mesyuarat Lembaga, Menara Felda, Persiaran KLCC, di sini pada 16 Januari 2014.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Zaid didakwa memperdayakan Lembaga Pengarah berhubung nilai pasaran 24 tanah milik Felda yang dicadangkan untuk pembangunan komersial.
Dia didakwa menyebabkan lembaga mempercayai bahawa penilaian harga pasaran oleh Firdaus & Associates Property Professionals Sdn Bhd berjumlah RM330.96 juta sedangkan tertuduh mengetahui jumlah sebenar yang dilaporkan ialah RM691.7 juta.
Tertuduh turut didakwa memperdayakan lembaga dengan menyatakan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) memberikan anggaran awal nilai pasaran bagi semua tanah berkenaan sebanyak RM180 juta, sedangkan dia mengetahui JPPH tidak pernah memberikan anggaran berkenaan kepada Felda.
Perdayaan itu didakwa mendorong Lembaga Pengarah menerima tawaran daripada Synergy Promenade berdasarkan cadangan Minimum Guaranteed Return RM500 juta atau 10 peratus daripada Gross Development Value (GDV), mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Kesalahan bagi pertuduhan kedua didakwa berlaku di lokasi sama pada 29 April 2014.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Radzi Shah Razak mencadangkan jaminan RM50,000 bagi setiap pertuduhan, selain syarat Zaid menyerahkan pasport dan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali.
Bagaimanapun, peguam Zaid, Shahrullah Khan, memohon jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan anak guamnya berdepan kesukaran kewangan.
Shahrullah turut berkata, Zaid memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dan pernah dua kali menjadi saksi pendakwaan, termasuk dalam kes membabitkan bekas pengerusi Felda, Isa Samad.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM60,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Zaid turut diperintahkan menyerahkan pasport sehingga kes selesai serta melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.
Mahkamah menetapkan 29 Okt untuk sebutan kes. – MalaysiaGazette
















