PUTRAJAYA – Pembiayaan Inisiatif Ubat Melalui Pos (UMP) secara percuma bermula 1 Oktober ini dijangka memberi manfaat secara langsung kepada lebih 87,000 pesakit yang melanggan perkhidmatan itu pada setiap bulan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, apa yang penting, perkhidmatan itu menjimatkan masa dan kos perjalanan selain keperluan pesakit untuk hadir ke fasiliti dapat dikurangkan dan urusan mendapatkan bekalan ubat menjadi lebih mudah.
Katanya, usaha itu mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan penyampaian perkhidmatan farmasi sentiasa berkembang seiring dengan keperluan pesakit.
“Pembiayaan caj penghantaran meliputi bungkusan ubat yang diproses bermula 1 Oktober ini terhad kepada warganegara Malaysia yang memohon perkhidmatan ini melalui aplikasi MyUBAT.
“Inisiatif ini akan berterusan sehingga jumlah maksimum tuntutan RM5 juta dicapai,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pembiayaan Inisiatif UMP di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
UMP ialah salah satu Perkhidmatan Nilai Tambah Farmasi (VAS) yang disediakan oleh KKM sejak 2011.
Melalui perkhidmatan ini, pesakit luar yang menerima rawatan susulan di hospital atau klinik kesihatan kerajaan boleh mendapatkan bekalan ubat mereka terus ke pintu rumah melalui perkhidmatan kurier (Pos Laju) tanpa perlu datang dan beratur di kaunter farmasi.
Mulai 1 Oktober ini, perkhidmatan UMP kini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan tanpa sebarang caj pos kepada pesakit.
Sebelum ini, bayaran kos penghantaran iaitu caj Pos Laju bermula antara RM5.70 hingga RM12 perlu ditanggung sendiri secara tunai oleh pesakit setiap kali permohonan ubat susulan dibuat.
Namun kerajaan mengumumkan peruntukan secara one-off sebanyak RM5 juta yang disalurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, inisiatif tersebut merupakan satu contoh bagaimana kerjasama rentas kementerian dan agensi dapat diterjemahkan kepada manfaat
yang dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas kerjasama dan komitmen dalam menjayakan pembiayaan ini.
“Penghargaan juga kepada Pos Malaysia Berhad, yang menjadi takan strategik KKM dalam melaksanakan perkhidmatan UMP sejak tahun 2011, serta Program Perkhidmatan Farmasi KKM dan semua warga farmasi di seluruh negara yang memastikan perkhidmatan ini dapat dilaksanakan dengan baik dan bekalan ubat sampai kepada pesakit dengan teratur,” katanya. – MalaysiaGazette
















