NAGOYA – Hasrat skuad sepak takraw negara untuk melengkapkan kejayaan emas berganda pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 tidak kesampaian, selepas tewas 0-2 kepada juara bertahan Thailand pada aksi final acara regu hari ini.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia gagal menambah koleksi emas, selepas terlebih dahulu merangkul kejuaraan acara regu berpasukan empat hari lepas di Paloma Mizuho Arena.
Malaysia yang turun dengan misi menggandakan emas berdepan tentangan sengit Thailand dalam aksi final, dengan kedua-dua pasukan mempamerkan permainan pantas dan sengit sejak awal perlawanan.
Terdahulu, Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan) diberi tanggungjawab untuk memburu mata pendahuluan, namun tidak diberi laluan mudah oleh trio Thailand Tanaphon Sapyen, Kritsanapong Nontakote dan Wuttinun Kamsanor yang mendahului 12-8.
Ketua Jurulatih Negara Ahmad Jais Baharun kemudian membuat pertukaran dengan menggantikan Syahir dengan Muhammad Zulkifli Abd Razak, manakala Aidil Aiman digantikan Muhammad Afifuddin Razali dalam usaha mengubah corak permainan.
Bagaimanapun, pertukaran berkenaan masih belum mampu menghalang Thailand daripada menguasai permainan sebelum menutup set pertama 15-9.
Malaysia yang perlu bangkit pada set kedua untuk menghidupkan peluang memburu emas acara regu tampil lebih agresif, namun ketinggalan lima mata pada kedudukan 0-5.
Syahir, Aidil Aiman dan Azlan kemudian kembali digandingkan dan percaturan itu membuahkan hasil apabila Malaysia bangkit menyamakan kedudukan 5-5.
Malaysia bagaimanapun berdepan detik cemas apabila dua servis Syahir tersangkut di jaring, sekali gus membolehkan Thailand kembali di depan 9-5.
Rentetan itu, satu demi satu mata diraih trio Thailand sebelum menutup perlawanan 15-8 untuk menafikan peluang Malaysia merangkul emas kedua dalam acara sepak takraw.
Jumaat lepas, skuad negara terlebih dahulu menamatkan penantian 36 tahun apabila meraih emas acara regu berpasukan, selepas kali terakhir memenanginya pada edisi Beijing 1990.
Pada edisi sama, Malaysia turut membawa pulang emas acara regu menerusi gandingan Noor Rani Adnan, Rehan Mohamad Din, Nordin Sabarudin dan Abd Malik Samsudin.
Kejayaan di Beijing 1990 itu merupakan kali terakhir Malaysia meraih dua emas sepak takraw dalam satu edisi Sukan Asia.
Kekalahan dalam final hari ini menyaksikan Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, sekali gus menyaksikan kutipan pingat perak kontinjen negara bertambah kepada empat pada temasya kali ini. – BERNAMA
















