Foto: FB FAM

JAKARTA – Malaysia gagal memanfaatkan kelebihan beraksi menentang 10 pemain Indonesia apabila sekadar seri 0-0 dalam aksi Kumpulan A Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), di sini malam ini.

Indonesia terpaksa beraksi dengan 10 pemain sejak minit ke-37 selepas pemain tengah bertahan Thom Haye dilayangkan kad merah susulan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR), dalam babak pertama yang berlangsung sengit dan sarat aksi fizikal.

Skuad Garuda terlebih dahulu mencetuskan detik cemas seawal minit ketiga apabila Justin Hubner berjaya menjaringkan gol, namun jaringan itu dibatalkan selepas beliau didapati melakukan kekasaran dalam gerakan berkenaan.

Malaysia kemudian hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-12 menerusi Arif Aiman Mohd Hanapi yang melakukan larian solo dari tengah padang sebelum percubaannya diselamatkan penjaga gol Indonesia Maarten Paes.

Tuan rumah berdepan detik sukar pada minit ke-34 apabila Haye pada mulanya dilayangkan kad kuning selepas memijak Arif Aiman.

Bagaimanapun, pengadil dari Korea Selatan Ko Hyung-jin menukar keputusan itu kepada kad merah tiga minit kemudian selepas meneliti insiden berkenaan menerusi VAR.

Penjaga gol negara Ahmad Syihan Hazmi kemudian mempamerkan ketangkasan pada masa kecederaan babak pertama dengan menafikan percubaan Dean James.

Indonesia hampir memecah kebuntuan menerusi sepakan penjuru selepas itu, namun tandukan Elkan Baggott sekadar singgah di tiang sebelum kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan tanpa jaringan.

Harimau Malaya mengubah pendekatan selepas rehat dengan memasukkan seorang lagi penyerang apabila Paulo Josue menggantikan Mohamad Faisal Abdul Halim pada minit ke-54 untuk bergandingan dengan Bergson da Silva di jentera serangan.

Percaturan itu hampir membuahkan hasil 10 minit kemudian apabila Josue menyambut hantaran lintang Manuel Hidalgo dari sebelah kiri, namun tandukannya sedikit melepasi palang.

Pada minit ke-74, pemain gantian Fergus Tierney mensia-siakan peluang terbaik Malaysia untuk merobek gawang tuan rumah apabila percubaannya susulan tandukan Bergson melambung melepasi palang.

Meskipun beraksi dengan kelebihan seorang pemain selama lebih separuh permainan, skuad kendalian sementara Tan Cheng Hoe gagal menemui sentuhan penyudah, manakala Indonesia bertahan kental untuk memastikan perlawanan berakhir tanpa jaringan.

Malaysia seterusnya akan berdepan Singapura dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, manakala Indonesia melayan kunjungan Bangladesh di sini, Khamis ini.

Terdahulu, Singapura menewaskan Bangladesh 1-0 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here