KUALA LUMPUR – Lima rakyat Malaysia ditahan selepas menyeludup lima kilogram (kg) cecair dadah sintetik jenis etomidate di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta di Indonesia pada 25 September lalu disyaki direkrut sindiket sebagai keldai dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua suspek ditahan terdiri daripada empat lelaki berusia 21 hingga 30 tahun bersama seorang wanita berumur 25 tahun.
“Kita telah menerima laporan perkongsian maklumat daripada pihak Dittipidnarkoba Bareskrim Polri mengenai penahanan lima warga Malaysia yang baru tiba dari Kuala Lumpur menggunakan penerbangan komersial.
“Semakan mendapati, tiga daripada suspek dari Sarawak manakala dua lagi daripada Pahang. Seorang dari kesemua suspek mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah dan lagi empat tiada rekod jenayah.
“Penahanan dilakukan oleh pihak Bahagian Duti dan Cukai, Kastam dan Eksais Indonesia selepas mengesyaki pergerakan mencurigakan oleh kelima-lima individu terbabit ketika pemeriksaan dilakukan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, setiap suspek membawa dua bungkusan serbuk disyaki etomidate dengan berat kira-kira 500 gram bagi setiap bungkusan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Hussein, kesemua bungkusan itu disembunyikan pada bahagian insole kasut dengan jumlah keseluruhan sebanyak 10 bungkusan melibatkan berat kasar lima kg yang telah ditemui.
“Pihak JSJN akan terus berhubung dengan pihak Polri bagi mendapatkan maklumat lanjut untuk mengesan rangkaian sindiket dadah di Malaysia yang terlibat,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















