KUALA LUMPUR – Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dikecualikan daripada kenaikan kadar gaji minimum baharu buat masa ini bagi memberi ruang kepada sektor itu berdepan tekanan kos operasi dan cabaran ekonomi semasa.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Steven Sim Chee Keong berkata, keputusan tersebut dipersetujui Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet hari ini selepas mengambil kira kemampuan PMKS.
“Saya telah membangkitkan isu gaji minimum dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini. Kabinet bersetuju bahawa gaji rakyat perlu terus ditingkatkan. Namun kita juga perlu melindungi perniagaan tempatan khususnya PMKS yang sedang berdepan tekanan kos operasi dan cabaran ekonomi semasa,” katanya menerusi kenyataan.
Jelas Steven, kerajaan bagaimanapun kekal komited untuk meningkatkan pendapatan pekerja dengan pendekatan lain termasuk menerusi sokongan subsidi gaji di bawah Dasar Gaji Progresif.
Menurut beliau, pendekatan berkenaan bertujuan bagi memastikan peningkatan gaji pekerja bergerak seiring dengan peningkatan produktiviti tanpa menjejaskan daya saing PMKS.
“Kerajaan akan mengambil pendekatan lain untuk membantu meningkatkan gaji pekerja dalam sektor PMKS termasuk sokongan subsidi gaji di bawah Dasar Gaji Progresif agar kenaikan gaji bergerak seiring dengan peningkatan produktiviti,” katanya.
Steven berkata, matlamat kerajaan jelas untuk memastikan kebajikan pekerja terus terbela menerusi gaji yang lebih wajar.
“Selain, PMKS kekal berdaya saing untuk terus berkembang dan menjana peluang pekerjaan,” katanya.
Dasar Gaji Progresif merupakan inisiatif kerajaan untuk mereformasi pasaran buruh dengan matlamat meningkatkan pendapatan pekerja selari dengan peningkatan produktiviti.
Kadar gaji minimum semasa ialah RM1,700 sebulan selepas Perintah Gaji Minimum 2024 dilaksanakan sepenuhnya kepada semua majikan mulai 1 Ogos 2025.
Pelaksanaan kadar RM1,700 itu sebelum ini bermula pada 1 Februari 2025 bagi majikan yang mempunyai lima pekerja atau lebih serta majikan yang menjalankan aktiviti profesional sebelum diperluaskan kepada semua majikan selepas tempoh penangguhan bagi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja berakhir pada 31 Julai 2025. – MalaysiaGazette
















