Pannir dan tetamu bergambar kenangan bersama penggiat seni budaya pada majlis perasmian Festival Kota Selatan 2026 di Dataran Segamat

SEGAMAT – Kerajaan Negeri Johor menyasarkan kehadiran 12 juta pelawat dengan anggaran RM42 juta bilion hasil pelancongan kepada negeri sempena Tahun Melawat Johor 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor, Pannir Selvam berkata, dalam usaha menjadikan negeri itu sebagai destinasi pelancong domestik dan antarabangsa.

Jelasnya, keistimewaan Johor bukan sahaja terletak pada pembangunan fizikal dan ekonomi tetapi juga pada kekayaan budaya, sejarah, warisan dan kepelbagaian masyarakatnya.

”Kerajaan negeri meletakkan sasaran yang cukup besar melalui Tahun Melawat Johor 2026, inilah aset yang menjadikan Johor unik dan mempunyai nilai yang tidak ternilai.

”Sasaran ini bukan sekadar angka tetapi mencerminkan keyakinan bahawa Johor memiliki produk pelancongan warisan, budaya, alam semula jadi, gastronomi, sukan, rekreasi dan ekonomi kreatif,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Kota Selatan 2026 di Dataran Segamat di sini malam tadi.

Pannir (tiga kanan) melakukan gimik perasmian Festival Kota Selatan 2026 di Dataran Segamat.Festival Kota Selatan anjuran bersama-sama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kerajaan Negeri Johor, JKKN dan rakan strategik termasuk Yayasan JCorp.

Pannir Selvam berkata, setiap pengunjung yang hadir bukan sahaja menikmati keindahan budaya Johor malah turut menggerakkan ekonomi setempat melalui sektor perhotelan, makanan dan minuman, pengangkutan, kraftangan, perusahaan kecil dan sederhana serta industri kreatif.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa komited untuk memastikan agenda perpaduan terus diperkukuh melalui pendekatan budaya yang mempunyai keupayaan luar biasa untuk menyatukan masyarakat.

Menurutnya, usaha memperkasa budaya bukan sekadar memenuhi tuntutan sejarah tetapi merupakan pelaburan bagi memastikan generasi akan datang terus hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati.

”Agenda Maju Johor 2030 bukan sekadar mengejar kemajuan ekonomi tetapi membina sebuah negeri yang inklusif, progresif dan mampan dengan rakyat sebagai teras utama pembangunan.

”Agenda ini menggariskan enam teras utama pembangunan negeri merangkumi kecekapan tadbir urus, pembangunan ekonomi, jaringan keselamatan sosial, infrastruktur, keselamatan dan kesihatan awam, alam sekitar serta pemerkasaan Orang Muda Johor,” katanya.

Pannir (empat kanan) dan tetamu bergambar bersama peserta Teluk Belanga Fun Walk sempena perasmian Festival Kota Selatan 2026 di Dataran Segamat.

Pannir Selvam berkata, seni budaya dan warisan memainkan peranan amat penting kerana pembangunan sebenar bukan diukur melalui kemajuan fizikal tetapi juga melalui kekuatan identiti jati diri, perpaduan dan nilai dimiliki rakyatnya.

Beliau berkata penganjuran festival itu dapat memperkenalkan daerah Segamat sebagai salah satu destinasi pelancongan budaya yang dapat merancakkan ekonomi setempat dan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan, penggiat seni serta komuniti setempat.

Tambahnya, Segamat sebagai pintu masuk utara Johor mempunyai kekuatan dalam sektor agro pelancongan, eko pelancongan dan khazanah alam semulajadi serta kaya dengan warisan sejarah dan budaya.

“Festival Kota Selatan 2026 bukan sekadar sebuah pesta budaya tetapi merupakan antara produk pelancongan strategik yang menyumbang kepada pencapaian sasaran menarik pelawat dan pelancong ke Johor,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here