KUALA LUMPUR – Perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang dan Tren Elektrik (ETS) di laluan Pulau Sebang-Batu Caves-Pulau Sebang kembali beroperasi seperti biasa selepas kerja baik pulih sistem elektrik alat talian atas selesai.
Bagaimanapun Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) KTMB menjangkakan beberapa perjalanan ETS masih mengalami kelewatan sementara susulan proses pelarasan semula jadual dan pergerakan tren selepas gangguan berkenaan.
“Kerja-kerja baik pulih sistem elektrik alat talian atas
di antara Stesen Batang Benar dan Stesen Labu telah selesai sepenuhnya pada jam 1.41 petang tadi,” kata KTMB menerusi kenyataan hari ini.
Pemeriksaan awal KTMB sebelum ini mendapati kejadian disyaki berpunca daripada ‘animal bridging’, iaitu keadaan apabila haiwan menjadi penghubung antara talian elektrik hidup dengan talian bumi.
Keadaan itu boleh mewujudkan laluan arus elektrik yang tidak sepatutnya dan seterusnya mencetuskan gangguan pada sistem perlindungan serta bekalan elektrik alat talian atas.
Akibat gangguan itu, beberapa perkhidmatan ETS dan KTM Komuter mengalami kelewatan serta pelarasan operasi termasuk penamatan sementara beberapa perjalanan dan penyediaan bas perantara untuk membawa penumpang ke Stesen Seremban. – MalaysiaGazette
















