Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Kerajaan belum membuat sebarang keputusan muktamad berhubung kadar baharu gaji minimum sebaliknya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya perkara itu diteliti secara menyeluruh.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penelitian itu merangkumi aspek pelaksanaan termasuk jadual masa serta kumpulan dan sektor yang akan terlibat.

“Tidak ada keputusan yang menyeluruh pada hari ini, hanya arahan untuk diteliti terlebih dahulu sebelum apa-apa pengumuman dibuat.

“Paling awal pengumuman akan dibuat sewaktu perbentangan Belanjawan 2027,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet hari ini.

Menurut Fahmi, kerajaan juga mahu mendengar pandangan pelbagai pihak termasuk Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) yang sebelum ini mengeluarkan pandangan berhubung isu gaji minimum.

Sekiranya terdapat pengumuman berhubung perkara itu, salah satu tarikh yang mungkin dipertimbangkan adalah selepas atau menjelang 9 Oktober nanti.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, perkara berkenaan masih dalam penelitian dan tiada keputusan muktamad dibuat Kabinet setakat ini.

Kadar gaji minimum ketika ini ialah RM1,700 sebulan yang dilaksanakan sepenuhnya kepada semua majikan mulai 1 Ogos 2025.

Awal hari ini, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dikecualikan daripada kenaikan kadar gaji minimum baharu buat masa ini.

Steven berkata, kerajaan akan mengambil pendekatan lain untuk membantu meningkatkan gaji pekerja dalam sektor PMKS.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir dilapor berkata, keseimbangan antara kebajikan pekerja dan kelangsungan majikan khususnya PMKS perlu diambil kira dalam cadangan peningkatan gaji minimum kepada RM2,000.

Malah Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Jacob Lee Chor Kok turut berkata, keuntungan segelintir syarikat besar tidak seharusnya dijadikan kayu ukur kemampuan semua majikan untuk menaikkan gaji minimum.

Jelasnya, kemampuan membayar gaji berbeza antara syarikat kerana tidak semua perniagaan menikmati keuntungan yang sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here