Abang Johari Tun Openg

KUALA LUMPUR – Kerajaan Sarawak memperuntukkan sumbangan RM100,000 kepada setiap keluarga petugas Perkhidmatan Doktor Udara yang terkorban dalam nahas helikopter berhampiran Long Lelang, Sarawak, semalam.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, turut bersetuju kerajaan negeri menanggung sepenuhnya yuran pendidikan anak-anak mangsa yang masih bersekolah melalui Yayasan Sarawak.

Kerajaan Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata, sumbangan itu diberikan bagi membantu meringankan beban keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi berkenaan.

“Kerajaan Sarawak menzahirkan rasa dukacita yang amat mendalam serta merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan waris petugas Perkhidmatan Doktor Udara yang terkorban,” menurut kenyataan itu.

Nahas berlaku berhampiran Long Lelang pada semalam kira-kira jam 3.58 petang ketika petugas berkenaan menjalankan amanah membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman yang sukar dihubungi melalui jalan darat.

Menurut kerajaan negeri, jasa, dedikasi, keberanian dan pengorbanan petugas berkenaan dalam memastikan masyarakat pedalaman mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan amat besar nilainya.

“Khidmat bakti mereka mencerminkan keprihatinan dan komitmen dalam memastikan tiada rakyat Sarawak yang tercicir daripada menerima perkhidmatan asas yang diperlukan,” ujarnya.

Kerajaan Sarawak berkata pemergian mereka bukan sahaja satu kehilangan besar kepada keluarga dan rakan seperkhidmatan, malah kepada seluruh rakyat Sarawak.

Dalam pada itu, kerajaan negeri menegaskan segala jasa dan pengorbanan petugas terbabit akan terus dikenang, selain menyatakan solidariti kepada keluarga serta waris yang ditinggalkan.

“Semoga seluruh ahli keluarga dan waris dikurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian serta kehilangan insan tersayang,” katanya.

Bagi mangsa beragama Islam, kerajaan negeri turut mengirimkan bacaan Al-Fatihah dan mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang bukan beragama Islam serta mendoakan mereka yang telah pergi bersemadi dengan tenang dan damai. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here