Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad diiringi Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab (kiri) bercakap pada sidang media berkenaan Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara KKM terhempas di Sarawak semalam ketika di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 09 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan penerbangan FDS di Sarawak akan diteruskan, khususnya bagi keperluan perubatan kecemasan dan pengangkutan pesakit kritikal, kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menteri Kesihatan itu berkata, buat masa ini perkhidmatan pemindahan perubatan (medivac) akan terus digerakkan sekiranya terdapat keperluan untuk membawa pesakit kritikal, dengan aspek keselamatan penerbangan kekal menjadi keutamaan.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) bagaimanapun akan mendapatkan maklumat dan input daripada pihak berkuasa penerbangan berhubung aspek keselamatan penggunaan helikopter susulan nahas di Miri, Sarawak.

“Kita akan teruskan, tiada sebab untuk menggantung perkhidmatan ini.

“Salah satu matlamat utama FDS adalah untuk mencapai liputan kesihatan sejagat. Jadi, kita akan mempergiatkan lagi usaha, memperkukuh dan meneruskan perkhidmatan ini,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/09/08/juruterbang-empat-petugas-kkm-disahkan-maut-dalam-nahas-helikopter-residen-miri/

Hadir sama adalah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Mahathar Abd. Wahab.

Dzulkefly berkata, perkhidmatan FDS mempunyai beberapa komponen, termasuk penerbangan berjadual yang dilaksanakan mengikut keperluan penduduk di kawasan terbabit.

Menurutnya, satu lagi komponen adalah perkhidmatan perubatan kecemasan bagi pengangkutan pesakit kritikal yang memerlukan rawatan atau pemindahan segera.

Katanya, KKM sentiasa mengambil kira keperluan kecemasan dan keselamatan sebelum sesuatu penerbangan dilaksanakan.

“Bagaimanapun, perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan berjadual akan kita bincangkan dan nilai dari semasa ke semasa, termasuk berdasarkan maklumat serta penilaian keselamatan daripada pihak berkuasa penerbangan,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman dan maklumat berkaitan nahas di Sarawak akan turut diambil kira dalam menentukan langkah KKM berkaitan penggunaan perkhidmatan helikopter pada masa akan datang.

Media melaporkan semalam seorang juruterbang dan empat petugas KKM disahkan maut selepas helikopter perkhidmatan doktor udara dinaiki mereka terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport).

Residen Bahagian Miri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri Galong Luang mengesahkan perkara itu berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta KKM.

Pada Selasa, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak.

Menurut CAAM, helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi  Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) ketika kejadian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here