MUAR – Terpengaruh dengan kandungan berkaitan insiden keganasan yang ditonton dalam media sosial disyaki telah mendorong seorang murid 12 tahun membawa mercun ke sekolah sebelum meletupkannya di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11 pagi sehingga menyebabkan kanak-kanak-kanak berkenaan melecur dan mengalami kecederaan.
Kejadian tersebut mencetuskan suasana panik dalam kalangan warga sekolah.
“Pihak sekolah bertindak segera dengan mengarahkan murid-murid berkumpul di kawasan selamat sebelum mendapatkan bantuan daripada pihak polis daerah Muar.
“Pelajar terbabit kemudian dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk mendapatkan rawatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan melecur pada beberapa bahagian badan dan telah diberikan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penilaian awal oleh pihak psikiatri turut dijalankan sebelum pelajar berkenaan dibenarkan meneruskan rawatan sebagai pesakit luar.
Pemeriksaan keselamatan turut dijalankan di lokasi kejadian oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan pemeriksaan forensik oleh Unit Forensik (D10) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati tiada ancaman bahan letupan lain dikesan di sekitar lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal membawa kepada penahanan pelajar berkenaan bagi membantu siasatan. Pemeriksaan turut dijalankan di lokasi kejadian dan kediaman pelajar serta beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian dirampas untuk tujuan siasatan dan analisis lanjut,” ujarnya.
Menurutnya, enam saksi sudah tampil memberikan keterangan berhubung kejadian itu manakala usaha mengesan saksi lain yang mempunyai maklumat berkaitan masih dijalankan.
“Siasatan awal mendapati pelajar berkenaan dipercayai terpengaruh dengan kandungan berkaitan insiden keganasan yang ditonton melalui media sosial dan internet,” katanya.
Namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan faktor yang mendorong kejadian tersebut, katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Pelajar terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini dan perintah reman selama empat hari diperoleh bermula hari ini hingga 3 Oktober ini bagi membantu siasatan lanjut.
Pihaknya menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memberi perhatian terhadap aktiviti serta kandungan yang diakses anak-anak melalui media sosial dan internet.
“Sebarang tingkah laku mencurigakan atau berkaitan bahan berbahaya hendaklah dimaklumkan segera kepada pihak berkuasa.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan gambar, video, identiti atau maklumat peribadi pelajar terbabit memandangkan kes ini melibatkan kanak-kanak dan siasatan masih berjalan,” katanya. – MalaysiaGazette
















