Antara warga asing yang turut ditahan Jabatan Imigresen Malaysia ketika Op Bersepadu Sarang Burung 2026 di Kuantan hari ini

KUANTAN – Sebanyak empat unit premis rumah kedai dan pejabat yang diubahsuai menjadi lot bilik penginapan padat secara haram dikenakan notis di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) hari ini.

Notis dikeluarkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menerusi Op Bersepadu Sarang Burung 2026 hasil pemeriksaan ke atas lima premis termasuk sebuah hotel di sekitar bandar Kuantan bermula jam 9 pagi tadi.

Menurut Pengarah JBPM Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim yang mengetuai operasi terbabit, pemeriksaan dilakukan ke atas premis lot kedai dan unit pejabat yang disyaki digunakan sebagai tempat penginapan padat, tidak tersusun dan tidak mematuhi keselamatan.

Antara bilik asrama penginapan warga asing yang diperiksa menerusi Op Bersepadu Sarang Burung 2026 di Kuantan

“Premis ini terletak di tingkat 1 dan 2 yang disyaki disewa kepada pekerja asing, dijadikan asrama pekerja asing dan sewa kepada pelajar selain warga tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Op Bersepadu Sarang Burung 2026 yang turut disertai Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTK).

MalaysiaGazette yang menyertai operasi terbabit turut mendapati, bilik-bilik kecil dalam ruang yang padat itu disewa kepada penghuni pada kadar RM250 sehingga RM300 sebulan.

Sementara itu, Mohd Razam berkata, antara kesalahan utama yang dikesan adalah kepadatan penghuni di mana terdapat premis yang dihuni sehingga hampir 30 individu.

Pengarah JBPM Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim (tengah) ketika sidang media selepas Op Bersepadu Sarang Burung 2026 di Kuantan hari ini

“Jika berlaku kebakaran, dikhuatiri penghuni tidak boleh menyelamatkan diri dan mungkin akan terkorban.

“Antara kesalahan lain pula, meliputi laluan kecemasan tidak mencukupi, pengasingan antara bilik tidak mengikut piawaian, tiada alat pemadam api, tangga kecemasan terhalang selain ketiadaan lampu tanda keluar dan lampu kecemasan yang tidak diselenggara dengan baik,” katanya.

Salah sebuah premis pejabat yang diubahsuai menjadi bilik-bilik penginapan yang diperiksa ketika Op Bersepadu Sarang Burung 2026 di Kuantan.

Beliau berkata, setelah notis itu dikeluarkan, pihaknya akan memberi tempoh pelaksanaan secukupnya terhadap premis terlibat dan akan menjalankan pemeriksaan kali kedua sebelum tindakan pendakwaan dilakukan.

Dalam pada itu, seramai 41 individu warganegara asing telah diperiksa JIM dalam operasi tersebut, di mana 15 daripada mereka telah ditahan dibawah pelbagai kesalahan termasuk tinggal lebih tempoh masa dibenarkan dan tiada permit sah.

Kesemua mereka terdiri daripada dua lelaki warga India, empat wanita warga Myanmar, empat lelaki warga Pakistan, dua lelaki warga Bangladesh serta dua lelaki dan dua wanita warga Indonesia.

Empat wanita dipercayai warga negara Myanmar ditahan Jabatan Imigresen Malaysia negeri Pahang ketika Op Bersepadu Sarang Burung 2026 di Kuantan hari ini

“Operasi ni akan dijalankan seara berterusan. Kita juga telah laksanakan operasi sama di daerah lain di seluruh negeri.

“Kita akan terus fokus penghapusan bahaya kebakaran kepada kawasan penginapan padat seperti ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here