MELAKA – Tular lima klip video memaparkan seorang lelaki dipercayai kurang siuman bertindak agresif termasuk cubaan melarikan seorang budak perempuan sebelum ditahan orang awam dan menyerahkanya kepada polis di Ayer Molek, di sini malam tadi.
Menurut saksi, Asyraf Kadir, 25, ketika kejadian jam 8.12 malam itu, dia dan dua lagi rakannya sedang makan di kedai berhampiran sebelum terdengar bunyi kecoh di simpang jalan masuk ke taman perumahan di hadapan kedai.
Dakwanya, pada awalnya lelaki terbabit dilihat menghampiri pasangan suami isteri menaiki sebuah motosikal bersama anak perempuannya berusia lingkungan enam tahun yang duduk di dalam bakul hadapan
“Mula-mula saya lihat dia seperti meracau bercakap dengan penunggang motosikal terbabit sebelum tiba-tiba dia merangkul kanak-kanak berkenaan dan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan orang ramai.
“Tenaga lelaki itu sangat kuat dan kami berusaha melepaskan kanak-kanak itu kerana bimbang kekuatan pelukan itu boleh mencederakan kanak-kanak berkenaan sehinggalah akhirnya berjaya.
“Saya turut merakam sebahagian kejadian untuk dijadikan bukti malah ketika ditanya tindakannya itu, lelaki itu mengaku tetapi percakapannya tidak jelas seperti tidak normal,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Menurutnya hasil maklumat awam, sebelum kejadian menimpa kanak-kanak itu, berlaku dua kejadian lain apabila lelaki sama didakwa cuba melarikan sebuah kenderaan yang mempunyai kanak-kanak di dalamnya.
Dakwanya, lelaki itu cuba melarikan sebuah Toyota Alphard yang ketika itu mempunyai anak mangsa di dalam kenderaan berkenaan itu di parkir di halaman rumah.
“Namun saya dimaklumkan, pemilik kenderaan sempat nampak dan menghalangnya daripada membawa lari kereta itu sebelum dia melarikan diri ke kawasan berhadapan kedai makan tempat saya bersama dua rakan.
“Sebelum itu, ada orang kata lelaki sama juga telah memukul seorang warga emas dan melarikan diri sebelum berjaya ditangkap pada kes ketiga dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,”dakwanya lagi.
Sementara itu, permohonan reman terhadap suspek akan di buat di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh, pagi ini.
MalaysiaGazette juga sedang mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak polis yang difahamkan akan mengeluarkan kenyataan media mengenai kes ini. – MalaysiaGazette
















