KLUANG – Sepasang suami isteri mencari sahabat mereka yang menyerahkan anak kandungnya dan dipelihara sehingga kini bagi mudahkan urusan membuat MyKad.

Sophian Rohani, 48, berkata, anak angkatnya, Nurmasqiah Abdul Rahim yang kini berusia 11 tahun, dilahirkan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini kira-kira 11 tahun lalu.

Rakannya yang juga ibu kandung anak angkatnya, Fahazila Fathilah, 46, menyerahkan Nurmasqiah kepada isterinya, Rodjia, 49, sehari selepas dilahirkan pada 19 Mac 2015.

“Wanita itu menyerahkan Nurmasqiah dengan alasan tidak mampu menyara kehidupan bayi berkenaan kerana keadaan ekonominya yang tidak mengizinkan selain perlu mencari pekerjaan sebelum datang untuk mengambilnya semula.

“Percaya dengan janji Fahazila, kami bersetuju untuk menjaga bayinya tanpa sebarang perjanjian dan penyerahan hanya disertakan dengan bukti kelahiran sahaja,” katanya kepada pemberita di Taman Seri Impian, di sini hari ini.

Dia berkata, pada mulanya, wanita yang tinggal di Tanjung Langsat, Pasir Gudang itu kerap menjengok Nurmasqiah di rumah kami di Taman Sri Impian dan tetap memberikan harapan untuk menuntutnya apabila keadaan ekonomi sudah kukuh.

“Namun selepas setahun, wanita itu mula sukar untuk dihubungi sebelum kami cuba menjejakinya di alamat yang diberikan tetapi gagal menemuinya,” katanya.

Menurut Sophian, kini Nurmasqiah memerlukan dokumen bagi membolehkannya mendapatkan kad pengenalan untuk membolehkannya mudah berurusan.

Ujarnya, permohonan kad pengenalan untuk Nurmasqiah tidak dapat diproses tanpa pengesahan ibu kandungnya dan dokumen yang ada hanya surat daftar kelahiran yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Susulan itu, kami berharap dapat menemui Fahazila dalam masa terdekat ini, diharapkan dia dapat menghubungi saya 018 7726587 untuk mengatur temu janji,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

Caption gambar:Sophian menunjukkan surat daftar kelahiran milik Nurmasqiah Abdul Rahim yang kini dijaga mereka di Taman Seri Impian, Kluang hari ini.

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here