KULAI – Seorang lelaki dipercayai ahli kongsi gelap didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan membunuh seorang remaja perempuan dan cubaan membunuh empat individu, bulan lalu.
Tertuduh, Choo De Hui, 26, mengangguk faham selepas semua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret R Salini.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan De Hui melakukan kesalahan bunuh hingga menyebabkan kematian ke atas seorang remaja 17 tahun pada 25 Ogos lalu di antara pukul 12.20 tengah malam hingga 12.33 tengah malam di Bulatan Persiaran Indahpura 4 di sini.
Berikutan itu dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Pada masa sama tertuduh turut didakwa atas empat pertuduhan cubaan membunuh dengan niat ke atas empat individu lain berusia 15 hingga 20 tahun pada tarikh dan waktu yang sama di Jalan Kiambang 9 dan Bulatan Persiaran Indahpura 4, Kulai.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan hendaklah dikenakan hukuman denda dan jika perbuatan itu menyebabkan cedera kepada mana-mana orang, hendaklah dipenjara maksimum 20 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Weng Hong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 2 Disember ini sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.
Sementara itu, di mahkamah sama, empat remaja mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja melakukan khianat memecahkan cermin bahagian belakang dan hadapan sebuah kereta sehingga menyebabkan kerugian Lai Yun Zhe Jeff, 20, di Bulatan Persiaran Indahpura 4, tarikh sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Weng Hong manakala tertuduh diwakili peguam, K C Lim.
Sementara di mahkamah sama, empat remaja berusia 15 hingga 17 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan niat sepakat, sengaja melakukan khianat dengan cara memecahkan cermin bahagian belakang dan cermin hadapan sebelah kiri sebuah Perodua Myvi.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu pada tarikh yang sama pukul 12.33 tengah malam di bulatan Persiaran Indahpura 4, Kulai sehingga menyebabkan kerugian terhadap Lai Yun Zhe Jeff, 20.
Bagi kesalahan tersebut mereka didakwa dibawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Weng Hong memohon mahkamah agar mengenakan jaminan RM3,000 bagi setiap seorang manakala peguam mewakili kesemua tertuduh K C Lim memohon agar dikurangkan.

Salini kemudian menetapkan jaminan RM2,500 setiap seorang dengan seorang penjamin serta perlu dibayar oleh ibu bapa atau penjaga sahaja.
Mahkamah juga menetapkan tarikh 28 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Pada 28 Ogos lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, polis menahan 13 individu termasuk seorang remaja perempuan berumur 15 tahun bagi membantu siasatan kes kematian remaja perempuan berkenaan dan kes tersebut diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.
Beliau berkata, sebelum itu Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima maklumat orang awam berhubung kemalangan jalan raya melibatkan kereta Perodua Myvi hitam di Lingkaran Bulatan Persiaran Indahpura 4, Kulai, pukul 12.38 tengah malam.
Kata Ab Rahman, siasatan awal mendapati kenderaan tersebut dipandu lelaki berumur 20 tahun bersama-sama empat penumpang, termasuk mangsa.
“Kesemua mereka yang baru keluar makan malam dalam perjalanan dari Jalan Kenanga, Indahpura (Kulai) menuju ke rumah masing-masing sebelum kenderaan mangsa diekori beberapa kenderaan, termasuk sebuah Toyota Vellfire hitam.
“Apabila tiba di bulatan berkenaan, kenderaan yang dinaiki mangsa dipercayai dilanggar Toyota Vellfire terbabit sehingga terbabas ke bahu jalan,” katanya.
Ab Rahaman berkata, rempuhan itu menyebabkan mangsa yang berada di kerusi hadapan penumpang tercampak keluar selepas pintu kereta rosak.
Katanya lagi, hasil soal siasat mendapati mangsa kemudiannya dipercayai dilanggar oleh Toyota Vellfire berkenaan sebelum kenderaan itu melarikan diri, dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ab Rahaman berkata, kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan konflik keahlian antara dua kumpulan kongsi gelap di sekitar Johor Bahru, bagaimanapun motif sebenar masih dalam siasatan.- MalaysiaGazette

















Kalau sokong ph@ dap confirm lepas sbb ph@dap blh atur semuanya