KUALA LUMPUR – Seorang lagi pemimpin kanan UMNO difahamkan bakal dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu depan bagi membantu siasatan berkaitan isu Tabung Haji.
Menurut sumber, pemimpin terbabit yang memegang kedudukan penting dalam UMNO itu diberi ‘masa’ untuk menyelesaikan urusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bermula esok hingga Sabtu ini.
“Pemimpin itu antara yang kanan, jadi biarlah selesai dahulu Perhimpunan Agung UMNO yang akan bermula esok hingga Sabtu ini.
“Minggu depan akan dipanggil SPRM. Sama ada disiasat, direman atau didakwa, kita tengok perkembangan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurut sumber itu, pemimpin berkenaan dipercayai akan disiasat berhubung penglibatannya dalam isu yang berkaitan dengan Tabung Haji.
Sebelum ini, seorang bekas menteri ditahan SPRM berhubung siasatan melibatkan RCI Tabung Haji.
Bagaimanapun, beliau dibebaskan dengan jaminan hari ini.
Terbaharu, bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, dijangka berdepan pertuduhan di mahkamah esok selepas sebelum ini direman bagi membantu siasatan berkaitan isu tersebut. – MalaysiaGazette















