Peguam, Datuk Mohammed Rhiza Ghazi (kiri) dan Awang Armadajaya Awang Mahmud (kanan) bergambar selepas bercakap pada media selepas permohonan rayuan penggantungan prosiding bagi kebenaran prosiding komital berhubung krisis perlembagaan Negeri Sembilan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 07 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu, Mahkamah Tinggi tiada bidang kuasa untuk memulakan prosiding komital terhadap enam individu termasuk bekas Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Thahak atas dakwaan menghina mahkamah.

Selain Mubarak, lima yang lain ialah Undang Luak Jelebu; Datuk Maarof Mat Rashad, Undang Luak Johol; Datuk Muhammed Abdullah, Undang Luak Rembau; Datuk Abdul Rahim Yasin, Tunku Besar Tampin; Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Shahbandar Sungai Ujong; Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.

Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud berhujah, isu yang melibatkan Undang Luak sepatutnya didengar dan diputuskan secara eksklusif oleh Mahkamah Khas di bawah Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berhujah, Perkara 182 menyatakan pertikaian yang melibatkan Undang Luak yang merupakan pembesar atau `raja’ bagi wilayah adat di Negeri Sembilan, hanya boleh dibicarakan di Mahkamah Khas.

Oleh yang demikian, Awang Armadajaya berhujah, isu mengenai bidang kuasa Mahkamah Tinggi merupakan keadaan luar biasa yang mewajarkan penggantungan prosiding komital terhadap keenam-enam individu berkenaan.

Beliau menyatakan demikian dalam rayuan bagi menggantung keputusan Mahkamah Tinggi Seremban pada 8 Julai lalu yang membenarkan prosiding komital terhadap keenam-enamnya dimulakan kerana didakwa melanggar perintah injunksi ad interim pada 5 Jun lalu.

Hakim Roz Mawar Rozain membenarkan permohonan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) serta Setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin untuk memulakan prosiding komital terhadap mereka atas dakwaan menghina mahkamah.

Awang Armadajaya selanjutnya berhujah, isu berkaitan Undang Luak melibatkan isu perundangan yang sangat besar dan ia merupakan bidang kuasa eksklusif Mahkamah Khas.

“Apabila Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah injunksi dan membenarkan prosiding komital dimulakan, persoalan yang timbul sama ada Mahkamah Tinggi mengambil alih bidang kuasa Mahkamah Khas.

“Jika Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa (mengeluarkan perintah injunksi ad interim dan prosiding komital), keputusan yang dibuatnya adalah salah,” hujah beliau.

Sehubungan itu, Awang Armadajaya berhujah agar isu bidang kuasa diputuskan oleh panel Mahkamah Rayuan terlebih dahulu untuk menentukan sama ada Mahkamah Tinggi boleh membenarkan prosiding komital terhadap keenam-enamnya.

Hujah beliau, persoalan itu perlu ditentukan terlebih dahulu oleh Mahkamah Rayuan kerana sebarang keputusan akan menentukan sama ada permohonan injunksi itu sah atau sebaliknya.

Awang Armadajaya berhujah, ini kerana keputusan terhadap perintah komital boleh membawa kepada sama ada hukuman penjara atau denda terhadap keenam-enam individu itu.

Menurut beliau, Mahkamah Tinggi telah menetapkan 28 September bagi pengurusan kes prosiding komital terhadap keenam-enamnya.

Sementara itu, peguam Steven Thiru yang mewakili DKU dan Raja Norazli (defendan) berhujah, isu perundangan yang dibangkitkan sepatutnya diputuskan di peringkat rayuan penuh.

Menurut beliau, penangguhan prosiding komital akan memprejudiskan pihak defendan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Dr. Alwi Abdul Wahab yang bersidang bersama-sama Datuk Dr. Shahnaz Sulaiman dan Datuk Amarjeet Singh menetapkan 14 September ini bagi menetapkan tarikh keputusan.

Keenam-enamnya merayu untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi Seremban pada 8 Julai lalu yang membenarkan prosiding komital terhadap mereka dimulakan kerana didakwa melanggar perintah injunksi ad interim pada 5 Jun lalu.

Hakim berkenaan turut menolak permohonan keenam-enam individu itu untuk menangguhkan prosiding komital sementara menunggu rayuan mereka terhadap keputusan itu, didengar di Mahkamah Rayuan.

Pertikaian undang-undang itu bermula pada 5 Mei lalu apabila Mubarak dan lima lagi memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan salinan minit mesyuarat khas DKU yang diadakan pada 17 April lalu.

Antara lain, kandungan minit mesyuarat itu adalah berkaitan keputusan untuk melucutkan Mubarak sebagai Undang Luak Sungai Ujong.

Pada 5 Jun lalu, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah injunksi ad interim dalam saman pemula bagi mengekalkan status quo, khususnya komposisi DKU dan kedudukan Raja Norazli sebagai setiausahanya.

Bagaimanapun, Raja Norazli mendakwa meskipun perintah injunksi ad interim telah dikeluarkan, laporan media pada hari sama menyatakan plaintif terutama Maarof menyertai upacara pertabalan Tunku Datuk Seri Nazaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.

Beliau mendakwa pelantikan itu dibuat dengan mengetepikan perintah mahkamah.

Dakwaan pelanggaran ini menyebabkan Raja Norazli dan DKU memohon kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk memulakan komital prosiding terhadap keenam-enam individu kerana menghina mahkamah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here