Sebahagian daripada pekerja asing yang diperiksa di sebuah kilang di Batu Pahat, hari ini.

MUAR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan  234 pekerja asing dalam dua serbuan di tiga buah kilang di daerah ini dan Batu Pahat.

Menerusi serbuan pertama di dua buah kilang perabot di Parit Jamil di sini semalam, seramai 176 pekerja asing lelaki terdiri daripada 147 Bangladesh, 27 Nepal, dua China dan seorang Myanmar ditahan.

Dalam Ops Mahir selama dua jam bermula 11 pagi itu, dua wanita tempatan yang bekerja sebagai pengurus premis turut ditahan bagi membantu siasatan.

Walaupun ada segelintir pekerja asing tersebut cuba melarikan diri semasa serbuan yang diketuai Ketua Operasi Imigresen Muar, Mohd Izwan Othman itu, namun usaha tersebut gagal kerana kawasan kilang telah dikepong pegawai dan anggota penguat kuasa imigresen.

Sementara itu dalam serbuan di sebuah kilang kayu di Jalan Ayer Hitam-Yong Peng, Batu Pahat bermula pukul 12 tengah hari tadi, seramai 58 pekerja asing termasuk tujuh wanita ditahan.

Mereka terdiri daripada 24 warga Myanmar, 16 India, lapan Bangladesh, tujuh China, dua Nepal dan seorang Pakistan.

Seorang pemandu lori warga tempatan turut ditahan dalam serbuan yang diketuai Ketua Operasi Imigresen Batu Pahat, Ikhmal Fauzy yang disertai 55 pegawai dan anggota imigresen itu.

Dimaklumkan semua pekerja asing tersebut melakukan beberapa kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959, antaranya memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas atau permit yang diberikan.

Kesemua pekerja asing berusia dalam lingkungan 20-an hingga 50-an itu kemudian dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Pekan Nanas, Pontian.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here