PUTRAJAYA – Masyarakat tidak seharusnya melihat keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 semata-mata berdasarkan kedudukan Malaysia dalam ranking global, sebaliknya perlu meneliti keupayaan sebenar anak-anak dalam berfikir, menyelesaikan masalah dan mengurus pembelajaran.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, keputusan PISA 2025 memberikan gambaran lebih luas mengenai kekuatan serta kelemahan murid Malaysia, termasuk perkembangan positif dalam Sains dan Bacaan serta penurunan pencapaian Matematik.
Menurutnya, kedudukan dalam jadual antarabangsa sememangnya penting bagi mengukur daya saing negara, namun ia tidak seharusnya menjadi satu-satunya ukuran kejayaan pendidikan.
“Saya tertarik dengan satu perkara daripada ulasan Andreas Schleicher daripada Economic Co-operation and Development (Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi, OECD).
“Beliau tidak memulakan bicara dengan kedudukan Malaysia. Beliau bercakap tentang anak-anak kita. Tentang rasa ingin tahu mereka, tentang kecekalan apabila berhadapan dengan kesukaran serta keupayaan mereka untuk belajar sendiri dan menyelesaikan masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Pengumuman PISA 2025 di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di sini, hari ini.
Fadhlina berkata, peningkatan pencapaian sains dan bacaan merupakan perkembangan yang perlu dihargai, khususnya apabila purata bagi bacaan menunjukkan penurunan.
Bagaimanapun katanya, penurunan pencapaian Matematik perlu dilihat secara serius dan tidak boleh dianggap sekadar perubahan dalam satu pusingan penilaian.
“Yang meningkat, kita mahu teruskan kemajuannya. Yang menurun, kita mesti fahami dan perbaiki.
“Penurunan ini bukan sesuatu yang kita boleh lihat sebagai perubahan dalam satu pusingan sahaja.
“Itu harus membuatkan kita melihat masalah ini dengan lebih serius, bukan dengan lebih defensif,” katanya.
Menurut beliau, persoalan lebih besar yang perlu dijawab ialah apakah sebenarnya yang sedang dibentuk dalam diri anak-anak Malaysia melalui sistem pendidikan negara.
“Pendidikan sebenar bukan hanya berkaitan apa yang diketahui seseorang murid pada usia 15 tahun, tetapi bagaimana mereka menggunakan ilmu itu ketika membuat keputusan dan berhadapan dengan masalah kehidupan,” katanya.
Fadhlina berkata, dapatan PISA menunjukkan murid Malaysia mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi, selain menunjukkan kecekalan serta keupayaan mengurus pembelajaran sendiri.
Malah, kesediaan murid Malaysia mendapatkan bantuan apabila diperlukan berada pada kedudukan tertinggi di dunia, manakala kekentalan mereka untuk belajar berada pada kedudukan ketiga tertinggi di dunia.
“Anak yang tahu bertanya apabila tidak tahu, bukan anak yang lemah. Anak yang terus mencuba apabila berdepan kesukaran, bukan anak yang gagal.
“Itu juga sebahagian daripada keupayaan untuk belajar,” katanya.
Katanya lagi, kekuatan berkenaan perlu dimanfaatkan bagi memastikan sistem pendidikan bukan sekadar menghasilkan murid yang mampu memperoleh markah tinggi, tetapi generasi mampu berfikir, bertanya, menilai dan terus belajar.
“PISA bukan sekadar menunjukkan masalah. Ia juga memberikan kita petunjuk,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















