Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan hadir memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, di The Mines Residence, Seri Kembangan. Foto SADIQ SANI, 28 SEPTEMBER 2026.

PUTRAJAYA – Keluarga Tun Dr Mahathir Mohamad masih terkejut dengan pemergian Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang disifatkan berlaku secara tidak diduga.

Malah, mereka masih bersama Allahyarhamah di Institut Jantung Negara (IJN) semalam dalam keadaan ceria dan mesra, kata anak kedua Dr Mahathir, Tan Sri Mokhzani.

Menurutnya, keadaan Allahyarham berubah secara mendadak pagi tadi sebelum disahkan meninggal dunia.

“Kami terkejut pagi tadi kerana semalam keluarga berada dengan Allahyarhamah di IJN, begitu ceria dan mesra, tetapi pagi tadi ada perbezaan yang besar dan malangnya tidak dapat dipulihkan dan beliau telah meninggal dunia.

“Saya berterima kasih kepada semua kerana datang hari ini,” katanya ketika ditemui selepas urusan pengebumian di Pusara Negara, Presint 20, di sini.

Dalam pada itu, Mokhzani mengesahkan semua urusan pemakaman Allahyarhamah selesai dengan selamat dan lancar hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota tentera, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak Putrajaya serta semua agensi kerajaan yang membantu memastikan urusan penghormatan terakhir Allahyarhamah berjalan tanpa sebarang masalah.

Menurutnya, perjalanan urusan hari ini bermula dari IJN ke rumah, kemudian ke masjid di Sungai Besi dan lokasi berhampiran The Mines sebelum berakhir dengan urusan pengebumian.

“Alhamdulillah, semuanya telah selesai dengan selamat. Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua pegawai-pegawai tentera, PDRM dan Putrajaya yang memastikan pengebumian ini dijalankan begitu lancar tanpa masalah langsung.

“Terima kasih juga kepada semua badan kerajaan yang telah membantu serta kerajaan yang meluluskan semua agensinya untuk menolong kami pada hari ini,” katanya.

Mokhzani berkata, terlalu banyak kenangan dikongsi bersama Allahyarhamah sehingga sukar untuk memilih satu kenangan terakhir.

“There’s no one last memory, there’s millions of memories. I’m very happy that we’ve had so much time to share with her.

“We’ve had many family gatherings in the last months, weeks, days. So we had a lot of memories,”” katanya.

Beliau berkata, majlis tahlil untuk Allahyarhamah akan diadakan di rumah malam ini selepas solat Isyak, selain turut dirancang pada keesokan hari dan hari ketiga.

Ditanya mengenai keadaan Tun Dr Mahathir selepas pemergian itu, Mokhzani berkata, bapanya berada dalam keadaan baik dan dijangka mampu mengharungi hari yang disifatkannya sebagai amat luar biasa.

“Okay. Tapi of course hari ini ialah satu hari yang sangat-sangat luar biasa. He’ll be okay, insya-Allah. He’ll be okay,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here