Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiring Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika hadir pada Majis Perasmian Penutup Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di MITC, Melaka. Foto SADIQ SANI, 06 SEPTEMBER 2026.

MELAKA – Barisan Nasional (BN) tidak seharusnya terikat dengan permusuhan politik pihak lain dalam menentukan strategi dan bentuk kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu perlu berhati-hati dalam menentukan percaturan politik kerana seteru sentiasa mencari kelemahan yang boleh dimanfaatkan.

“Jangan buat silap walaupun sedikit kerana seteru politik sentiasa mencari kelemahan kita.

“Yang baik, tanyalah kawan. Yang tidak baik, tanyalah musuh. Dalam kawan ada musuh, dalam musuh ada kawan.

“Tetapi pendirian kita bahawa kawan you adalah kawan saya. Musuh you, jangan paksa jadi musuh kita. Itu pegangan kita,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO pada masa sama menegaskan kepentingan merangkul semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri.

“Oleh itu, saya amat bersetuju kita rangkul, kita peluk, kita dakap semua bangsa, semua agama, semua latar belakang, semua golongan di negeri Melaka.

“Insya-Allah Kerajaan Melaka yang sekarang dan akan memberikan kesinambungan akan menyantuni seluruh golongan Melaka yang pelbagai.

“Kita berikan kepercayaan, insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyeru rakyat Melaka membawa kembali “gelombang biru” seperti yang menurutnya berlaku pada pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan.

Beliau turut meminta Ab Rauf meneruskan program yang memberi manfaat kepada rakyat sekiranya BN diberikan mandat semula pada PRN Melaka.

“Datuk Rauf, kalau mandat diberikan semula kepada kita, jangan lupa teruskan program ini setiap bulan.

“Jangan bermusim, kita mesti menyantuni semua rakyat tanpa musim. Sebab kita bukan pemimpin politik yang bermusim. Kita pemimpin tanpa musim yang menyantuni semua rakyat pada setiap waktu dan ketika, insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here