Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majis Perasmian Penutup Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di MITC, Melaka. Foto SADIQ SANI, 06 SEPTEMBER 2026.

MELAKA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh supaya tidak bimbang berhubung pendiriannya untuk tidak bertanding sekiranya Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, beliau tahu kehendak pengundi Melaka dan akan membuat keputusan terbaik dengan mengambil kira kepentingan negeri itu.

“Jangan risau Dr Akmal, abang tahu apa yang akan abang buat.

“Abang tahu suara anak muda negeri Melaka mahukan siapa. Saya tahu pengundi Melaka mahu kita bekerjasama dengan siapa.

“Tiba masanya, saya tahu keputusan yang terbaik yang akan saya buat demi kepentingan Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Kenyataan Ahmad Zahid itu merujuk kepada pendirian Muhamad Akmal sebelum ini yang menyatakan beliau tidak akan bertanding pada PRN Melaka sekiranya BN bekerjasama dengan PH.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta Ab Rauf mengadakan rundingan secara teliti dalam menentukan rakan kerjasama bagi menghadapi PRN Melaka, termasuk dalam soal pembahagian kerusi.

“Kalau dulu kita telah membuktikan dengan solo kita membuat keputusan, dan rakyat Melaka bersama-sama dengan gelombang biru ketika itu.

“Datuk Rauf berunding elok-elok, jaga hati orang Melaka. Jangan kurang daripada 21 kerusi.

“Yang baki tujuh kerusi lagi, tak apa kita serah kepada mereka,” katanya.

Ahmad Zahid turut menegaskan suara anak muda perlu diberi perhatian kerana golongan itu mempunyai pengaruh dalam menentukan masa depan politik Melaka.

Bagaimanapun, beliau yakin sokongan terhadap BN bukan hanya datang daripada golongan muda, malah turut melibatkan pengundi negeri itu secara keseluruhan.

“Tetapi saya yakin bukan sekadar anak muda, seluruh pengundi Melaka telah berada dalam mood gelombang biru dan geng biru di negeri Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here