@malaysiagazette Helikopter Flying Doctor Service bawa lima penumpang terhempas berdekatan Long Lellang STOLport, Sarawak hari ini – CAAM. HelikopterTerhempas MalaysiaGazette Video : Orang Awam
KUALA LUMPUR – Sebuah helikopter milik Layang-Layang Aerospace terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang (STOLport) di Ulu Baram, Sarawak, petang ini.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan mengesahkan menerima maklumat mengenai insiden tersebut pada pukul 3.58 petang.
Menurutnya, helikopter berkenaan ketika itu sedang dalam operasi menjalankan tugas Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service).
Lima penumpang yang berada di dalam pesawat itu ialah juruterbang Kapten Zainol, Pegawai Perubatan Dr Ainul Baroah Kamaruddin, Penolong Pegawai Perubatan Alexson Adit serta dua jururawat Debra Moset dan Jessie Paya.

CAAM berkata, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan.
Helikopter jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF itu dilaporkan terhempas di penghujung landasan sebelum meletup dan terbakar.
Bagaimanapun, keadaan kesemua individu yang berada di dalam pesawat masih belum dapat dipastikan setakat ini.

Detik-detik cemas sebelum helikopter terhempas sempat dirakam oleh penduduk Kampung Long Lellang Marudi.
Menerusi rakaman video penduduk, helikopter berkenaan mengeluarkan asap hitam semasa ia terbang pada kedudukan rendah.
Pesawat itu dilaporkan terbakar sebelum ia terhempas.
Dalam pada itu, dalam rakaman video yang tular, terdengar suara orang awam yang menangis sejurus selepas tragedi tersebut. – MalaysiaGazette















