KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggerakkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kejadian Helikopter BO-105 yang terhempas berhampiran STOLport Long Lellang, Marudi, Sarawak, petang ini.
Bagaimanapun menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, perjalanan darat ke lokasi kejadian mengambil masa 10 jam dari Marudi manakala khidmat helikopter tidak dapat digunakan kerana jerebu.
Sehubungan itu katanya, operasi mencari dan menyelamat buat masa ini bergantung pada penduduk kampung.
ARTIKEL BERKAITAN
Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah helkopter milik Layang-Layang Aerospace terhempas di Ulu Baram, jam 3.58 petang tadi.
Menurutnya, helikopter berkenaan ketika itu sedang dalam operasi menjalankan tugas Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service).
CAAM berkata, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan.
Difahamkan, helikopter jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF itu dipercayai membawa lima individu termasuk juruterbang.
Identiti kesemua individu berkenaan sedang dikenal pasti dan status mereka juga belum diketahui.
Terdapat kemungkinan mangsa sempat menyelamatkan diri atau terjun keluar dari helikopter sebelum ia terhempas, namun perkara itu masih dalam siasatan dan operasi mencari masih dijalankan pihak berkuasa. -MalaysiaGazette















