GEORGE TOWN – Seorang wanita warga emas maut selepas digilis sebuah kereta di kawasan parkir Blok 42, Flat Desa Green, Solok Slim di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.20 petang ketika mangsa berusia 81 tahun berjalan kaki menuju ke blok rumahnya.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa keluar dari sebuah kereta p-hailing menuju ke blok rumahnya, namun tersadung sebelum terjatuh di atas jalan.
“Kemudian datang sebuah kereta, bergerak lurus ke depan lalu melanggar mangsa tanpa berhenti dan terus beredar dari tempat kejadian.
“Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dengan kecederaan di bahagian kepala,” katanya di sini hari ini.
Abdul Rozak berkata, setakat ini pihak polis belum menerima sebarang laporan daripada pemandu kenderaan terbabit.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan polis dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Irwandy Hamled di talian 013 515 5656,” katanya.
Terdahulu tular rakaman video berdurasi 20 saat memaparkan mangsa tersadung sebelum digilis kereta tersebut. – MalaysiaGazette















