Pasport Malaysia. FOTO ABDULLAH YUSOF.

 

KUALA LUMPUR – Pasport Malaysia berada di tempat ketiga dalam Kedudukan Pasport Malaysia 2026 yang diterbitkan Passport Reports, dengan Skor Mobiliti 175 dan kadar akses global sebanyak 88.4 peratus.

Menurut laporan September Passport Reports, yang menerbitkan laporan pasport bagi 199 negara dalam 34 bahasa, pemegang pasport Malaysia boleh memasuki 121 daripada 198 destinasi yang dinilai tanpa visa.

Sebanyak 46 destinasi pula menawarkan visa semasa ketibaan atau aturan kemasukan dipermudah, manakala lapan destinasi memerlukan Kebenaran Perjalanan Elektronik (eTA).

Hanya 23 destinasi memerlukan pemegang pasport Malaysia mendapatkan visa sebelum melakukan perjalanan.

Secara keseluruhan, 61.1 peratus destinasi boleh dimasuki tanpa visa, 23.2 peratus melalui visa semasa ketibaan atau kemasukan dipermudah dan empat peratus menggunakan eTA.

Gabungan ketiga-tiga kategori itu menghasilkan Skor Mobiliti 175.

Dari segi liputan serantau, Malaysia merekodkan akses 100 peratus ke negara-negara Caribbean dan Teluk.

Eropah mencatat akses 97.9 peratus, diikuti Timur Tengah (94.1 peratus), Oceania (92.9 peratus), Amerika Selatan (91.7 peratus), Amerika Utara (91.3 peratus), Asia (87.8 peratus), Asia Tengah (80 peratus) dan Afrika (77.8 peratus).

Antara keperluan kemasukan khusus yang direkodkan ialah Kebenaran Perjalanan Elektronik bagi United Kingdom dengan tempoh maksimum 180 hari, manakala Australia dan New Zealand masing-masing 90 hari dalam kategori sama.

Singapura dan Thailand pula merekodkan keperluan kad ketibaan bagi lawatan selama 30 hari, Republik Dominika memerlukan e-tiket bagi tempoh sama, Côte d’Ivoire menetapkan pra-pendaftaran untuk 90 hari dan Seychelles memerlukan pendaftaran pelancong bagi tempoh 90 hari.

Dalam perbandingan kumpulan antarabangsa, Malaysia berada di tempat pertama dari 21 negara OPEC+ dan sembilan negara D-8.

Malaysia turut berada di tempat kedua daripada 57 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), 21 ekonomi APEC, 11 negara ASEAN dan 56 negara Komanwel.

Negara ini berada di tempat ketiga daripada 159 anggota Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan 132 negara G77.

Bagi negara yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, Malaysia berada di tempat kedua daripada tiga negara.

Sementara itu, dalam aspek kemudahan kemasukan pemegang pasport asing ke Malaysia, negara ini berada di kedudukan ke-29 daripada 199 negara dalam Kedudukan Keramahan Passport Reports.

Laporan itu turut mengenal pasti 20 negara yang pemegang pasportnya boleh memasuki Malaysia tanpa visa, melalui kebenaran elektronik atau visa semasa ketibaan, tetapi mengenakan visa terhadap pemegang pasport Malaysia.

Antara negara terbabit ialah Amerika Syarikat, Kanada, Colombia, Pakistan, Serbia dan Turkmenistan.

Menurut Passport Reports, perbezaan kedudukan antara indeks pasport boleh berlaku kerana setiap indeks menggunakan kaedah penilaian, kategori akses dan aturan pemecah seri yang berbeza.

Passport Reports menyusun pasport berdasarkan Skor Mobiliti, diikuti jumlah destinasi bebas visa, Kebenaran Perjalanan Elektronik serta visa semasa ketibaan atau kemasukan dipermudah sekiranya terdapat kedudukan yang sama.

Kaedah berkenaan, menurut laporan itu, membolehkan penilaian dibuat berdasarkan kriteria yang ditetapkan dan digunakan secara konsisten terhadap semua pasport. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here