KUALA LUMPUR – Kuasa politik penting bagi memastikan agenda kebaikan, keadilan dan reformasi dapat diterjemahkan kepada dasar serta tindakan namun ia tidak boleh disalahgunakan untuk kepentingan diri atau kelompok.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengalaman sepanjang 11 tahun penubuhan parti itu membuktikan kuasa diperlukan bagi membolehkan sesuatu agenda dapat dilaksanakan.
“Dalam politik, kuasa itu penting. Tanpa kuasa, banyak perkara hanya tinggal sebagai cadangan dan cita-cita.
“Dengan kuasalah dasar boleh dilaksanakan, undang-undang diperbaiki, institusi diperkukuhkan dan keadilan ditegakkan,” katanya dalam perutusan sempena ulang tahun Amanah ke-11 hari ini.
Mohamad berkata, ia dapat dilihat melalui sejarah perjuangan Rasulullah SAW selepas penghijrahan baginda ke Madinah bukan sekadar menyampaikan risalah sebaliknya memimpin masyarakat, menyusun pentadbiran, menjaga keamanan serta mempertahankan masyarakat daripada ancaman.
“Kebaikan memerlukan kekuatan untuk dilaksanakan, manakala keadilan pula memerlukan kuasa untuk ditegakkan.
“Namun, kuasa hadir bersama amanah dan akan membawa kemudaratan sekiranya digunakan demi kepentingan peribadi atau kelompok tertentu,” katanya.
Menurutnya, sejak ditubuhkan, Amanah memilih pendekatan Rahmatan Lil ‘Alamin dengan membawa gagasan Islam yang menekankan rahmat, keadilan dan kebaikan kepada semua tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
“Kita mahu politik yang menyatukan, bukan memecahkan. Politik yang mencari penyelesaian kepada masalah rakyat, bukan menjadikan perbezaan sebagai modal permusuhan.
“Kalau kita bercakap soal rahmah, rakyat mesti dapat merasainya melalui kerja kita,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad turut mengingatkan ahli Amanah supaya tidak melihat politik hanya dalam lingkungan negara sendiri, sebaliknya memahami perkembangan geopolitik dunia.
“Konflik yang berlaku di Palestin, Asia Barat serta persaingan kuasa besar akhirnya memberi kesan kepada ekonomi, keselamatan, makanan dan masa depan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, konflik dunia juga tidak seharusnya dilihat terlalu mudah hanya melalui kaca mata kaum, agama atau mazhab kerana banyak pertikaian turut berkait dengan perebutan kuasa, pengaruh, sumber dan kepentingan geopolitik.
“Kalau kita tidak memahami percaturan ini, kita mudah dipengaruhi oleh propaganda orang lain.
“Umat Islam diseru membina kekuatan dalam pelbagai bidang termasuk ilmu, ekonomi, teknologi, diplomasi dan politik supaya suara mereka dihormati serta kepentingan rakyat dapat dipertahankan,” katanya.
Mengimbas perjalanan Amanah sepanjang 11 tahun, Mohamad berkata parti itu melalui pelbagai fasa termasuk menjadi pembangkang, diberi amanah mentadbir, kembali menjadi pembangkang dan kini sekali lagi memikul tanggungjawab dalam pentadbiran negara.
Beliau turut mengenang jasa pejuang awal parti yang telah meninggal dunia, termasuk Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang disifatkannya sebagai antara mereka yang mencurahkan tenaga dalam membina Amanah.
“Jasa mereka akan sentiasa menjadi sebahagian daripada sejarah perjuangan kita. Semoga Allah SWT merahmati mereka semua,” katanya.
Memasuki tahun ke-12, Mohamad berkata keutamaan Amanah adalah memperkukuhkan parti, mendekati rakyat serta melahirkan lebih ramai pemimpin muda dan wanita yang berwibawa.
“Agenda reformasi juga mesti terus diperjuangkan. Apa yang perlu diperbaiki, kita perbaiki. Penyelewengan mesti ditentang dan institusi negara mesti terus diperkukuhkan,” katanya.
Katanya lagi, walaupun zaman, politik dan geopolitik dunia sentiasa berubah, prinsip perjuangan Amanah perlu terus dipertahankan.
“Bawa rahmah kepada semua. Tegakkan keadilan. Fahami dunia. Bina kekuatan dan sentiasa ke depan membela segenap lapisan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















