NIBONG TEBAL – Mayat lelaki tempatan yang ditemui dalam tangki najis di sebuah rumah teres di Taman Seri Bistari di sini pada Rabu lalu dipercayai pemilik kepada lebih 20 kedai gunting rambut sekitar negeri ini dan Kedah.
Difahamkan, pihak keluarga mangsa yang sebelum ini membuat laporan berhubung kehilangan lelaki berusia 52 tahun itu turut membuat pengecaman identiti.
Mangsa dikatakan sudah kira-kira dua hari berada dalam tangki najis rumah teres setingkat yang dipercayai disewa suspek.
Susulan penemuan itu, polis terpaksa memecahkan sebahagian tangki najis berkenaan bagi membolehkan mayat mangsa dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba.
Mangsa ditemui dalam keadaan kepalanya diserkup plastik dan dililit tali manakala tangan serta kakinya turut diikat.
Selain itu, polis turut menemui sebilah pisau dalam tong sampah di rumah jiran yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN:
Mayat dalam tangki najis diklasifikasi sebagai kes bunuh
Lima suspek direman kes culik lelaki sebelum ditemui mati dalam tangki najis
Mayat dalam tangki najis diklasifikasi sebagai kes bunuh
MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan polis menahan 10 suspek terdiri daripada warga Myanmar dan tempatan bagi membantu siasatan kes penculikan serta bunuh mangsa.
Semalam, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Deputi Superintendan Mohd Norazmi Abd Ghapar mengesahkan kes penemuan mayat di sebuah rumah di Taman Seri Bistari di sini, diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Klasifikasi semula itu dibuat berdasarkan hasil bedah siasat serta perkembangan siasatan. Selain itu, identiti mangsa juga telah disahkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















