KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menafikan dakwaan beliau membuat u-turn berhubung cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan.
Tegasnya, dakwaan beliau mengubah pendirian atau melakukan reversal berhubung cadangan itu tidak tepat dan tidak menggambarkan konteks sebenar sepanjang tempoh beliau menerajui Kementerian Kesihatan (KKM).
“Sepanjang kira-kira setahun saya diberikan amanah sebagai Menteri Kesihatan, isu penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan telah beberapa kali dibincangkan, diteliti dan digerakkan oleh KKM,” katanya menerusi kenyataan.
Sebaliknya, Dr Zaliha menegaskan, pendiriannya mengenai penubuhan suruhanjaya itu sudah jelas sejak 2023 apabila menyatakan ia antara cadangan yang dipertimbangkan dalam Kertas Putih Kesihatan yang ketika itu berada pada peringkat akhir rundingan bersama pemegang taruh.
Beliau berkata, perkara sama turut dilaporkan portal berita CodeBlue pada April 2023 susulan pertemuannya dengan Hartal Doktor Kontrak, apabila cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan dibincangkan dalam kerangka Kertas Putih Kesihatan.
Dr Zaliha berkata, penjelasannya di Dewan Rakyat pada 15 Jun 2023 pula berkaitan batas kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan berdasarkan Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan.
“Saya menyatakan bahawa fungsi Suruhanjaya Perkhidmatan meliputi urusan pelantikan, pengesahan jawatan, kenaikan pangkat, pertukaran dan tatatertib.
“Saya turut menjelaskan bahawa penubuhan sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dengan sendirinya tidak memberikan kuasa untuk mewujudkan jawatan baharu atau merangka sistem saraan termasuk menetapkan kadar emolumen yang lebih kompetitif,” katanya.
Pada masa sama, beliau menjelaskan, penubuhan suruhanjaya baharu melibatkan proses rumit, termasuk keperluan pindaan Perlembagaan Persekutuan serta sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Itu adalah penjelasan mengenai struktur, bidang kuasa dan kekangan model yang ada pada ketika itu. Ia bukan penolakan mutlak terhadap usaha menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan,” katanya.
Dr Zaliha berkata, rekod selepas penggulungan di Parlimen turut menunjukkan kerajaan ketika itu tetap komited terhadap penubuhan suruhanjaya berkenaan.
Tambahnya, KKM pada Oktober 2023 turut membentuk Kumpulan Kerja Teknikal bagi mengkaji penubuhan suruhanjaya itu, termasuk meneliti model dan mekanisme yang sesuai.
Sehubungan itu, Dr Zaliha mempersoalkan asas dakwaan sebuah portal berita yang mengatakan beliau sebelum ini menentang penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan sebelum mengubah pendirian.
Beliau menghormati hak media untuk mengkritik pemimpin, namun menegaskan kebebasan berkenaan perlu disertai tanggungjawab untuk melaporkan sesuatu isu secara tepat, adil dan dengan konteks yang mencukupi.
“Namun kebebasan media turut datang dengan tanggungjawab untuk melaporkan secara tepat, adil dan dengan konteks yang mencukupi.
“Mengambil satu petikan daripada ucapan Parlimen, memisahkannya daripada konteks sebenar, kemudian membina naratif seolah-olah berlaku perubahan pendirian sedangkan rekod sebelum dan selepas kenyataan tersebut menunjukkan sebaliknya, pada pandangan saya tidak mencerminkan standard kewartawanan yang sewajarnya,” katanya lagi.- MalaysiaGazette
















