KUALA LUMPUR – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim difahamkan telah meninggalkan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) kira-kira jam 6.30 petang tadi selepas hampir dua jam mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ismail dilihat menaiki kenderaan rasmi Menteri Besar selepas selesai mengadakan pertemuan dengan kepimpinan utama UMNO yang difahamkan bermula kira-kira jam 4 petang itu.
Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan dibuat Ismail berhubung pertemuan berkenaan.
Difahamkan, pertemuan itu dipercayai bagi mendapatkan penjelasan Ismail berhubung isu dokumen Surat Cara Proklamasi yang dikaitkan dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan serta beberapa pemimpin tertinggi UMNO.
Selain itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut berada dalam pertemuan tersebut.
Terdahulu, Ahmad Zahid ketika ditemui media tengah hari tadi memaklumkan beliau akan bertemu Ismail bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu berkenaan. – MalaysiaGazette
















