MELAKA – Pakatan Harapan (PH) Melaka tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Tegas Timbalan Pengerusi PH Melaka, Khoo Poay Tiong, gabungan parti itu akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada pilihan raya berkenaan tanpa kerjasama parti di luar PH.
“Tiada kerjasama dengan Bersatu. Tidak ada. PH akan bertanding tanpa bekerjasama dengan mana-mana pihak di luar PH,” katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan di Jejantas Tun Teja di Peringgit di sini hari ini.
Menurut Pengerusi DAP Melaka itu, pihaknya akan mengemukakan pandangan kepada Majlis Presiden PH berhubung pendirian DAP negeri dalam masa terdekat ini.
“Kita akan maklumkan pendirian DAP dan PH Melaka kepada Majlis Presiden PH,” jelasnya.
Bagaimanapun kata beliau, pihaknya sedia berunding dengan mana-mana pihak yang mahu membentuk kerjasama politik pada PRN kali ini.
“Kita sedia berunding dengan mana-mana parti tetapi setiap rundingan itu ada garisan merahnya. Kita terbuka untuk mendengar tetapi itu tidak bererti kita akan bekerjasama,” tegasnya.
Ditanya adakah ketidakhadirannya dalam majlis makan malam PH-Bersatu di sebuah hotel di sini malam kelmarin menunjukkan beliau tidak bersetuju untuk menjalinkan kerjasama, jelas Ahli Parlimen Kota Melaka itu;
“Itu sekadar makan-makan dan jangan buat persepsi bahawa kita sudah bekerjasama dengan mereka”.
Dalam pada itu tambahnya, agihan kerusi sesama parti dalam PH telah selesai dan akan diumumkan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat pada 7 Oktober ini.
“Antara kita dalam PH sudah selesai dan sedang memilih tarikh yang sesuai yang ada ong punya untuk kita umum calon-calon kita” katanya. – MalaysiaGazette















