KUALA LUMPUR – UMNO Negeri Sembilan menggesa persoalan mengenai minit Mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April lalu diperjelaskan bagi menelusuri punca sebenar kemelut institusi dan pentadbiran yang melanda negeri itu.
Ketua Penerangannya, Muhammad Sufian Maradzi berkata, keseluruhan rentetan peristiwa yang membawa kepada kemelut berkenaan perlu dilihat dan tidak ditafsir secara terpilih.
Kenyataan itu sebagai respons terhadap gesaan PKR Negeri Sembilan yang hari ini mahu kemelut pentadbiran negeri diselesaikan segera bagi mengelakkan urusan kerajaan, ekonomi dan kepentingan rakyat terus terjejas.
Menurut Muhammad Sufian, Sidang Khas DKU pada 17 April merupakan antara titik penting dalam rentetan krisis berkenaan.
Beliau mendakwa kedudukan Undang Luak Sungei Ujong ketika itu dikatakan telah diputuskan secara kolektif melalui DKU, namun keputusan berkenaan kemudiannya dipertikaikan pihak tertentu yang hadir.
Justeru katanya, persoalan mengenai minit mesyuarat berkenaan kekal fundamental dalam memahami bagaimana pertikaian itu bermula.
“Mengapa rekod yang menjadi asas kepada keputusan sebesar itu tidak dikemukakan ketika pertikaian mula berlaku?
“Sekiranya rekod tersebut diperjelaskan sejak awal, sebahagian besar kekeliruan, pertikaian institusi dan krisis pentadbiran yang menyusul berkemungkinan dapat dielakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pertikaian mengenai rekod Sidang Khas DKU 17 April bukan isu baharu.
Pada 24 April lalu, Setiausaha Sulit Undang Luak Sungei Ujong, Hanafi Ruzlan dilaporkan mencabar kerajaan negeri ketika itu supaya mendedahkan minit mesyuarat berkenaan selepas kerajaan menyatakan keputusan berkaitan kedudukan Undang dibuat secara kolektif.
Bagaimanapun, kenyataan rasmi Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 17 April menyatakan DKU telah bersidang di Istana Besar Seri Menanti berhubung pemberhentian Datuk Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungei Ujong.
Kenyataan berkenaan menyebut 33 sebab pemberhentian telah dibentangkan dan DKU menasihatkan penerimaan pemberhentian Mubarak yang dibuat mengikut adat Luak Sungei Ujong.
Muhammad Sufian berkata, pertikaian berkenaan menjadi antara asas hilangnya keyakinan UMNO/BN terhadap kepimpinan Aminuddin ketika itu.
Menurutnya, pendirian berkenaan bukan penolakan terhadap konsep Kerajaan Perpaduan tetapi berkaitan cara krisis institusi dan pentadbiran negeri dikendalikan.
Beliau berkata selepas penyelesaian politik tidak dicapai, DUN dibubarkan dan mandat dikembalikan kepada rakyat sebelum sebuah kerajaan baharu dibentuk melalui proses pilihan raya.
“Mandat tersebut wajib dihormati sebagaimana semua pihak sebelum ini menuntut supaya kehendak rakyat dihormati,” katanya.
Muhammad Sufian turut meminta kerajaan negeri ketika ini diberikan ruang menyelesaikan kemelut tersebut secara tertib dan berpandukan perlembagaan.
Beliau berkata, isu melibatkan institusi diraja, adat serta struktur pemerintahan Negeri Sembilan tidak seharusnya dijadikan medan tekanan politik ketika proses berkaitan masih berjalan.
Artikel berkaitan: Kemelut N. Sembilan: Kerajaan negeri seolah-olah tak berfungsi – Aminuddin
Terdahulu, Aminuddin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Negeri Sembilan berkata ketidaktentuan berkaitan kedudukan MMKN berpotensi melambatkan urusan pelaburan, pembangunan, kelulusan dan pindah milik tanah serta pelaksanaan projek.
PKR turut menyatakan kebimbangan kemelut berpanjangan boleh menjejaskan kestabilan ekonomi, peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette

















Yg PH duk sorok Minit Mesyuarat tu dah kenapa??? Titah Addendum pun PH sorok…minit mesyuarat pun sorok…apa benda telusnya??? Madani ni cakap tak serupa bikin…