Sekitar program Wawasan Integrasiswa Rentas Antarabangsa 2026 (WIRA’2026) yang diadakan selama empat hari baru-baru ini di Universitas Islam Batik Surakarta (UNIBA), Solo, Indonesia.

MELAKA – Dari bilik kuliah ke pentas antarabangsa, mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) membuktikan pengalaman merentas sempadan mampu menjadi pemangkin pembentukan jati diri, kepimpinan dan jaringan serantau menerusi Wawasan Integrasiswa Rentas Antarabangsa 2026 (WIRA’2026).

Program empat hari yang diadakan baru-baru ini di Universitas Islam Batik Surakarta (UNIBA), Solo, Indonesia itu menghimpunkan mahasiswa Malaysia dan Indonesia menerusi aktiviti pertukaran budaya, kepimpinan, perkongsian ilmu,
kesukarelawanan serta komunikasi rentas budaya.

Lebih daripada sekadar program mobiliti, WIRA’2026 menjadi ruang mahasiswa UTeM keluar daripada zon selesa, berdepan persekitaran baharu dan belajar membina komunikasi serta kerjasama dengan komuniti antarabangsa.

Pengarah Program WIRA’2026, Siti Shahida Sulani berkata, pengalaman itu memberi peluang kepada peserta memahami perbezaan budaya selain membina keyakinan untuk berkomunikasi dan memimpin dalam suasana yang berbeza.

“Peserta bukan sahaja datang sebagai mahasiswa, tetapi membawa identiti UTeM dan Malaysia untuk berkongsi budaya, nilai serta membina hubungan dengan mahasiswa dan masyarakat di Indonesia,” katanya.

WIRA’2026 dianjurkan Jawatankuasa Mahasiswa Luar (JKML), Kelab Virtuoso dan Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA UTeM) dengan kerjasama UNIBA, selain mendapat sokongan serta tajaan Yayasan Perkasa Siswa, Yayasan Terengganu, EPIC Berhad, Ramalong Enterprise, Maia Clothing dan Terengganu Inc.

Bagi peserta UNIBA, Renova Amanda, program itu membuka peluang mahasiswa kedua-dua negara saling mengenali budaya dan perspektif kehidupan masing-masing dalam suasana yang lebih dekat dan terbuka.

“Walaupun datang daripada negara berbeza, banyak perkara yang menyatukan mahasiswa Malaysia dan Indonesia, khususnya persahabatan, pendidikan dan semangat untuk menyumbang kepada masyarakat,” ujar beliau yang merupakan pelajar tahun 2 program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi (Pengurusan Rantaian Bekalan dan Logistik) dengan Kepujian.

Sementara itu, mengulas perkembangan ini, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pengalaman antarabangsa penting bagi melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja mempunyai kompetensi akademik dan teknikal, malah yakin berinteraksi dalam masyarakat global.

“Mahasiswa perlu diberikan ruang untuk belajar di luar bilik kuliah kerana pengalaman antarabangsa mampu memperluas perspektif, membina keyakinan serta mengajar mereka memahami masyarakat dan budaya yang berbeza,” katanya.

Program berteraskan tema “Wawasan Global, Membina Wibawa” itu turut diserikan dengan aktiviti kebudayaan, persembahan tradisi, lawatan komuniti, sesi jaringan mahasiswa, perkongsian ilmu dan kesukarelawanan bagi memperkukuh kemahiran
insaniah peserta.

Dalam masa sama, Majlis Peluncuran Alumni Chapter Solo, Indonesia menjadi antara pengisian penting WIRA’2026, dengan jaringan berkenaan dijangka membuka ruang kerjasama dalam bidang akademik, kebolehpasaran graduan, kepakaran, industri dan pembangunan mahasiswa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here