Universiti Kebangsaan Malaysia

KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya menembusi kelompok 301-325 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2027, meningkat daripada tahun sebelumnya, iaitu daripada kelompok 301-350.

Pencapaian tersebut meletakkan UKM di kedudukan kedua terbaik universiti awam di Malaysia.

THE World University Rankings merupakan antara penarafan universiti antarabangsa yang menilai institusi berorientasikan penyelidikan berdasarkan lima bidang utama, iaitu Pengajaran, Persekitaran Penyelidikan, Kualiti Penyelidikan, Industri dan Pandangan Antarabangsa.

Bagi edisi 2027, UKM menunjukkan peningkatan dalam bidang Persekitaran Penyelidikan, Pandangan Antarabangsa dan Industri.

Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh berkata, kedudukan dalam penarafan antarabangsa merupakan salah satu petunjuk yang membantu universiti melihat kedudukannya dalam landskap pendidikan tinggi global.

“Penarafan ini penting kerana ia memberi gambaran tentang kedudukan UKM di peringkat antarabangsa. Ia juga membantu kita untuk melihat pencapaian UKM berbanding universiti lain.

“Dengan pencapaian ini, kedudukan UKM di peringkat global akan lebih menyerlah sekaligus membuka lebih banyak peluang kerjasama dengan rakan akademik dan industri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Namun begitu Sufian menegaskan, penarafan bukan satu-satunya ukuran kepada pencapaian sesebuah universiti.

Jelas beliau, UKM tetap memberi perhatian kepada pelbagai bentuk sumbangan akademik dan kepakaran yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

Tambahnya, berkata pencapaian tersebut adalah hasil usaha berterusan warga UKM dalam meningkatkan prestasi universiti dalam pelbagai bidang, khususnya penyelidikan, pengajaran, jaringan antarabangsa dan hubungan dengan industri.

Pencapaian itu turut seiring dengan aspirasi TEKAD57, iaitu kerangka strategik UKM bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang memberi tumpuan kepada pengukuhan prestasi universiti secara menyeluruh.

“Peningkatan dalam penarafan ini dilihat sebagai satu perkembangan positif dan pada masa yang sama, sebagai ruang untuk kita melihat apa yang boleh dilakukan dengan lebih baik di masa hadapan,” katanya. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here