KUALA LUMPUR – Enam notis kompaun dikeluarkan dalam Operasi Larangan Merokok (OLM) Bil. 25/2026 di sekitar Dataran Merdeka di sini dan beberapa lokasi berhampiran semalam.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, operasi itu meliputi kawasan sekitar Dataran Merdeka, Menara DBKL 1 dan 2, Menara DBKL 3 serta laluan pejalan kaki berbumbung dari hadapan Menara DBKL 1 dan 2 hingga ke laluan LRT Bandaraya menghala ke Hotel IDEAS.
Menurutnya, empat daripada enam notis itu dikeluarkan atas kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil 4(a), Undang-Undang Kecil Kerajaan Tempatan (Dataran Merdeka) (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992.
“Dua notis lagi dikeluarkan di bawah Seksyen 16(2), Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) kerana merokok di kawasan larangan merokok di bangunan kerajaan,” katanya menerusi kenyataan.
DBKL berkata, operasi tersebut turut disusuli pendidikan kesihatan, amaran lisan serta edaran risalah berkaitan larangan merokok kepada orang awam.
“DBKL akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan dan kesedaran dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan awam di Kuala Lumpur kekal bersih, selesa dan bebas daripada asap rokok,” katanya lagi.- MalaysiaGazette
















