KUALA LUMPUR – Selepas hampir dua minggu berada di Nepal menanti khabar suaminya yang masih hilang dalam tragedi banjir di Rasuwa, Hani Othman terus mengharapkan doa rakyat Malaysia mengiringi usaha mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang dijalankan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di negara itu.
Hani, yang kini memasuki hari ke-13 di Nepal bagi mengikuti perkembangan usaha mencari suaminya, Pegawai Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, berkata beliau masih belum menerima perkembangan terbaharu daripada Wisma Putra berhubung pencarian suaminya.
“Saya berharap rakyat Malaysia terus berdoa untuk suami saya dan supaya usaha operasi SMART berjalan lancar. Saya yakin dengan kemampuan pasukan SMART dan saya tidak akan ke lokasi pasukan SMART berada kerana perlu menyelesaikan urusan lain,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Hani berkata beliau juga masih belum dapat memastikan tempoh untuk pulang ke Malaysia kerana masih mempunyai beberapa urusan yang perlu diselesaikan.
Dalam pada itu, beliau berkata abang kepada Mohd Fakhrul Munir telah memberikan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) di Malaysia bagi membantu proses pengecaman sekiranya diperlukan pihak berkuasa.
Mohd Fakhrul Munir, 44, atau mesra disapa Loe, dilaporkan hilang bersama lapan lagi rakyat Malaysia selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka dalam ekspedisi pendakian ke Everest Base Camp (EBC) dipercayai terjejas akibat banjir ketika melalui sebuah lembah di Rasuwa pada 26 Ogos lepas.
Turut berada dalam kumpulan itu Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohd Sani Harul, 59, bersama tujuh lagi rakyat Malaysia serta seorang warga Nepal.
Sebanyak 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana itu, manakala 77 lagi yang dikesan selamat di Tibet dan Nepal sudah dibawa ke Kathmandu untuk menjalani proses sebelum pulang ke Malaysia.
Menurut Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal, sekurang-kurangnya 1,350 orang terkorban manakala hampir 5,000 lagi masih hilang akibat banjir yang melanda negara itu pada 26 Ogos lepas.
Media sebelum ini melaporkan 11 anggota dan pegawai SMART tiba di Nepal pada Ahad lepas dan telah membangunkan pangkalan hadapan di Dhunchen untuk pengurusan operasi bencana di kawasan Rasuwa meliputi Timure, Syafrubesi, Dhunche dan Mailung. – BERNAMA
















